Bomba Terengganu gerak aset ke Johor, Pahang

Md Hilman (dua dari kiri) dan pegawainya melakukan tinjauan air pasang besar dan hakisan di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus pada malam Ahad.
Md Hilman (dua dari kiri) dan pegawainya melakukan tinjauan air pasang besar dan hakisan di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus pada malam Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - [DIKEMASKINI] Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu telah menggerakkan aset-asetnya ke Johor dan Pahang susulan situasi banjir yang kian buruk di kedua-dua negeri berkenaan.

Pengarah JBPM Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, sehingga Isnin, pihaknya telah menghantar tiga lori lima tan dan dua bot ke negeri berkenaan.

Beliau berkata, walaupun Terengganu turut mengalami banjir, keadaan masih lagi terkawal dan pihaknya mempunyai aset mencukupi untuk menampung keperluan bagi operasi banjir di negeri ini.

“Kita mempunyai 11 kenderaan iaitu lori lima dan tiga tan untuk operasi banjir selain aset-aset lain. Sekiranya tambahan aset diperlukan di negeri lain yang lebih teruk terjejas, kita sedia membantu.

“Aset kita masih cukup dan kita mendapat bantuan daripada Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang.

"Mereka telah memberi kerjasama sepenuhnya dengan kita termasuk menyediakan kekuatan pegawai dan anggota serta kenderaan utiliti semasa kecemasan jika diperlukan,” katanya selepas melakukan tinjauan air pasang besar dan hakisan di sekitar Kuala Nerus pada malam Ahad.

Md Hilman Abd Rashid
Md Hilman Abd Rashid

Sehingga jam 11 pagi Isnin, keadaan banjir di Johor dan Pahang semakin buruk dengan jumlah mangsa kini meningkat kepada 9, 754 orang di Pahang dan 6,333 orang di Johor.

Sementara itu, Md Hilman turut mengingatkan penduduk di kawasan berisiko agar berpindah awal dan tidak menunggu hingga ke saat akhir bagi mengelakkan insiden terperangkap atau terkandas jika berlaku kenaikan paras air yang mendadak.

“Tindakan lambat berpindah ini akan merumitkan keadaan di mana tugas menyelamat dan memindahkan mangsa banjir mengambil sedikit masa berbanding sebelum ini berikutan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan normal baharu akibat wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Kalau sekiranya terdapat ombak ataupun keadaan yang membahayakan, saya syorkan supaya pindah awal. Jangan tunggu hingga saat-saat akhir baru nak berpindah.

“Jika lambat, ia hanya merumitkan keadaan dan menyukarkan pasukan penyelamat untuk memberikan bantuan terutama di kawasan pesisir pantai dengan keadaan ombak besar sudah tentulah tidak selamat untuk didiami,” katanya.