615 mangsa banjir di Perak

Anggota JBPM Teluk Intan membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung SC Ayer Hitam pada Ahad.
Anggota JBPM Teluk Intan membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung SC Ayer Hitam pada Ahad.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Seramai 615 mangsa banjir di Perak ditempatkan di 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga jam 7.30 pagi pada Isnin.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata, kesemua PPS tersebut dibuka sejak Ahad itu selepas 12 kawasan di tiga daerah di negeri ini iaitu Kampar, Hilir Perak dan Muallim dilanda banjir.

Menurutnya, jumlah mangsa paling ramai ialah di PPS Sekolah Kebangsaan Balun yang menempatkan 171 orang daripada 60 keluarga diikuti PPS Pejabat Kemas Tanjung Malim yang menempatkan seramai 100 mangsa.

"Kedua-dua PPS ini menempatkan mangsa dari Kampung Balun, Slim River dengan jumlah keseluruhan seramai 271 orang.

"Kesemua mangsa yang diselamatkan oleh anggota bomba dipindahkan menggunakan aset jabatan ini," katanya menerusi maklumat yang dikongsi kepada pemberita pada Isnin.

Sementara itu, di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) pula, seramai 85 mangsa banjir dari empat kampung ditempatkan di situ melibatkan 24 keluarga di dalam daerah Hilir Perak.

Kawasan yang terlibat ialah Kampung SC Ayer Hitam, Kampung Tengah Ayer Hitam, Kampung Sungai Rambai Chikus dan Batu 9 Simpang Tiga Jalan Changkat Jong.

Di daerah Kampar pula, sebanyak dua PPS dibuka masing-masing di Dewan Batu 20 dan Dewan Dato Azman Mahalan bagi menempatkan 18 keluarga yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

Bagi daerah Muallim sebanyak lapan PPS dibuka iaitu di Dewan Kampung Pauh, Dewan Kampung Pasir, SK Balun, Pejabat Kemas Tanjung Malim, Sekolah Agama Slim Village, Dewan Slim Village dan Surau An-Nur Hidayah Kampung Sungai Muda, Ulu Slim dan SK Kuala Slim.