X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir gelombang ketiga: JBPM Pahang terima bantuan dari negeri jiran

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng membantu membawa keluar pasangan warga emas yang terlibat banjir di Taman PSJ, Sungai Karang di sini pada Ahad. - Foto JBPM Pahang
A
A

KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mendapat bantuan logistik dan keanggotaan dari negeri jiran, Terengganu, Perak dan Kuala Lumpur untuk operasi banjir di negeri ini.

Ia bagi membantu 951 anggota pelbagai pangkat di seluruh daerah dan logistik sedia dalam operasi banjir gelombang ketiga di Pahang.

Pengarah JBPM Pahang, Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, ia juga bagi melancarkan operasi pemindahan mangsa dan penyelamatan apabila banjir pada Ahad berlaku serentak hampir di semua daerah.

Menurutnya, pada masa sama, cuti pegawai dan anggota dibekukan kembali hingga satu tempoh yang akan ditentukan kelak.

"Kita juga mempertimbangan untuk mendapatkan bantuan Unit Udara Bomba untuk menghantar bekalan makanan, perubatan dan khidmat khas di kawasan yang terputus perhubungan darat terutama kawasan pedalaman termasuk perkampungan orang asli yang terjejas dengan banjir.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada keperluan dan keadaan cuaca yang memungkinkan pesawat boleh diterbangkan untuk tugas tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota di sini pada Ahad malam.

Wan Mohammad Zaidi berkata, sebagai agensi penyelamat utama, pihaknya telah membuka bilik gerakan operasi di Ibu Pejabat JBPM Pahang bagi menyelaras operasi banjir di seluruh daerah di Pahang.

"Pusat Kawalan Bomba turut dibuka di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota bagi Zon 1, BBP Maran (Zon 2) dan BBP Kuala Lipis (Zon 3)," katanya.

Tambah beliau, peranan pihak bomba tidak hanya tertumpu kepada operasi pemindahan mangsa banjir tetapi turut membabitkan khidmat khas membawa pesakit kronik, warga emas dan ibu mengandung mendapatkan rawatan bila diperlukan.

"Hari ini (Ahad) kita telah memindahkan seorang ibu mengandung dari Kampung Sungai Mok, Rompin untuk ke hospital berdekatan.

"Selain itu anggota turut memantau beberapa kawasan kejadian tanah runtuh yang berlaku di beberapa daerah akibat hujan lebat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!