X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin dan Bidenomics

Joe Biden ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi memberi keyakinan kepada rakyat AS.
A
A

FASA pemulihan ekonomi dijangka berterusan pada tahun 2021. Ketersediaan vaksin Covid-19 dilihat menjadi pemangkin utama dalam pemulihan ekonomi.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global pada tahun 2021 diunjurkan berkembang sebanyak 5.2 peratus manakala Amerika Syarikat (AS) +4.2 peratus dan Malaysia +6 peratus.

Perkembangan positif mengenai pembangunan vaksin Covid-19 memberi kesan kepada pasaran saham global.

Ia dapat dilihat dengan kenaikan dalam kaunter-kaunter berkaitan sektor kewangan, perindustrian, tenaga dan juga amanah pelaburan hartanah (REITs).

Selain itu, berita mengenai keberkesanan vaksin telah menyebabkan peralihan dalam portfolio pelaburan yang dikenali sebagai ‘rotation’ di mana pelabur beralih kepada sektor-sektor ekonomi yang terjejas teruk semasa pandemik.

Sektor berkaitan work from home seperti e-dagang dan platform penstriman dan persidangan maya mula dilihat bergerak perlahan.

Namun, ketersediaan vaksin berkenaan tidak dapat mengakhiri pandemik dalam jangka masa yang singkat.

Pemulihan ekonomi mungkin melalui jalan yang sukar sekiranya jumlah kes harian jangkitan Covid-19 kekal pada paras yang tinggi, kemunculan mutasi baharu virus Covid-19 dan kekangan dalam proses pengagihan vaksin kerana syarikat-syarikat farmaseutikal perlu menghasilkan beratus juta dos vaksin dan pada masa yang sama pembangunan vaksin perlu diteruskan untuk memastikan keberkesanan vaksin pada tahap yang tinggi.

Ekonomi AS di bawah pentadbiran Joe Biden pada tahun 2021 akan menfokuskan kepada pemulihan ekonomi dan pembangunan ekonomi domestik.

Pakej rangsangan ekonomi kedua dapat meningkatkan faedah pengangguran sebanyak AS$300 seminggu dan memberi dana tambahan untuk pelaksanaan vaksinasi kepada penduduk.

Biden dilihat akan meningkatkan cukai pendapatan bagi individu berpendapatan AS$400,000 dan kemungkinan kenaikan cukai korporat kepada 28 peratus.

Beliau juga dijangka meningkatkan kadar upah minimum daripada AS$7.50 kepada AS$15 sejam.

Dasar kewangan AS pula dijangkakan kekal pasif, dengan kenyataan Rizab Persekutuan AS yang menyatakan badan itu tidak berniat untuk menaikkan kadar faedah dasar sehingga tahun 2024.

Ia bermaksud kadar faedah (oleh itu kos pinjaman) akan kekal pada paras 0.25 peratus. Kedua-dua perkara itu akan mendorong pasaran ekuiti AS untuk bergerak lebih tinggi.

Pelantikan Biden mungkin akan mengubah cara rundingan antara AS-China tetapi tidak untuk dasar dan pendirian AS.

Kadar pengangguran dijangka turun kepada 3.2 peratus pada tahun 2021. Walaupun terdapat ketidakpastian dalam landskap politik negara, ia tidak menjejaskan prospek pemulihan ekonomi.

Ia disebabkan oleh beberapa faktor antaranya sektor perbankan yang kukuh. Ia juga mampu memberikan pemulihan pendapatan dan berada pada tahap kecairan yang mencukupi.

Seterusnya, perbelanjaan pembangunan negara yang memberi rangsangan kepada ekonomi dan kenaikan harga komoditi yang memberi manfaat kepada Malaysia sebagai pengeksport minyak kelapa sawit.

Malaysia dijangka menerima vaksin pada suku pertama tahun 2020. Sekiranya vaksin diterima tepat pada masanya, pemulihan ekonomi dapat dipercepatkan. Ia akan memberi manfaat kepada sektor perbankan, perkilangan seperti pembuatan sarung tangan getah dan peralatan eletronik serta sektor logistik.

Sektor pelancongan pula dijangka mengalami peningkatan permintaan yang drastik dan ia mendorong kenaikan kaunter-kaunter berkaitan pelancongan seperti penerbangan dan perhotelan.

Sektor peruncitan dan REITs akan mengalami kesan limpahan apabila aktiviti pelancongan kembali aktif.

Bagaimanapun, cabaran utama yang perlu dilalui oleh kerajaan adalah untuk memastikan ketelusan dalam proses pengagihan vaksin yang melibatkan tiga aspek iaitu bagaimana vaksin dihantar, disimpan dan diberikan.

Ia penting kerana menurut Dr Anthony Faici, imuniti kelompok (herd immunity) hanya dapat dicapai sekiranya 75 peratus populasi telah menerima vaksin.

* Mohd Sedek Jantan ialah Ketua Jabatan Pelaburan dan Perancangan Kewangan, UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!