Selamat tinggal 2020, tahun keramat buat Sinar Harian

Allahyarham Jalil (kiri) dan Allahyarham Baharom (kanan) merupakan tokoh ternama dalam dunia kewartawanan.
Allahyarham Jalil (kiri) dan Allahyarham Baharom (kanan) merupakan tokoh ternama dalam dunia kewartawanan.
A
A
A
"ASSALAMMUALAIKUM bos, nak pegi mana tu.. lajunya jalan."

Pagi itu, Bos Jalil lalu di depan meja kerja ku, lain benar beliau pagi ni. Langkahnya cepat, badannya tegak dengan muka yang berseri-seri sambil senyum lebar.

Beliau melihatku sekilas dengan mata bercahaya dan mengangguk tanda mendengar pertanyaan ku sebelum mengangkat mukanya memandang ke hadapan. Ku perhatikan langkahnya yang semakin menjauh menuju ke ruang kerja editorial Sinar Harian.

Di situ terletak pejabatnya bersebelahan pejabat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Sinar Harian, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang, Datuk Baharom Mahusin.

Sesekali ku lihat beliau berlari-lari anak seakan tidak sabar untuk melaksanakan tugas hariannya.

Lain benar ku lihat beliau pagi itu, jika sebelum ini jalannya perlahan-lahan sambil berhati-hati menyusun langkah. Bimbang kalau-kalau terjatuh dengan penglihatan yang sudah tidak lagi terang.

Dengan keadaan begitupun, dia sering menolak jika ada yang ingin membantu. Sering pelawaan ku ditolak katanya, "aku tahu kau busy, pegi siapkan kerja."

Aku tersedar apabila terdengar kokok pertama ayam Peking belaan suamiku.

Allah! Aku mimpi rupanya. Aku menyeka air mata yang mengalir. Dengan mata terpisat-pisat ku mencari jam di telefon bimbit. 3.30 pagi!

Artikel Berkaitan:

Sehari sebelum itu (8 Ogos) industri media dikejutkan dengan pemergian sebutir permata yang tiada galang gantinya, Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali.

Sinar Harian menangis!

Kebetulan ketika itu, aku sedang bercuti panjang dan hari terakhir berjumpa beliau sebulan yang lalu. Ketika itupun beliau bukanlah sihat sangat, penyakit diabetes dan masalah buah pinggang yang dialami banyak mempengaruhi keadaan kesihatannya.

Pada usia 66 tahun, keadaannya kesihatan yang terjejas membuatkan beliau nampak lebih tua daripada usianya.

Saya bersama rakan-rakan sempat menzarah Allahyarham Datuk Jalil ketika beliau menerima rawatan di Hospital Shah Alam.
Saya bersama rakan-rakan sempat menzarah Allahyarham Datuk Jalil ketika beliau menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

Lebih kurang jam 7.30 pagi aku sudah berada di rumah arwah, disambut kakak Datin Syarifah Nooraiya Syed Hassan, isteri Allahyarham yang ku panggil Kak Pah.

Ketika itu anak dan isterinya semua berada di hospital, disebabkan terpaksa melalui proses ujian Covid 19, proses untuk pengebumian mengambil masa lama mungkin hingga ke malam.

Aku sempat bertemu Kak Pah, mendengar ceritanya saat akhir pemergian bos yang disayangi ramai itu.

Benar, kehilangan itu bukan hanya dirasai oleh ahli keluarganya, kami semua juga menahan rasa yang serupa.

Kehilangan kedua

Tahun 2020 pasti menjadi angka keramat buat semua warga Sinar Harian.

Tidak sampai empat bulan kehilangan Allahyarham Datuk Jalil, ALLAH SWT menjemput Datuk Baharom pada 17 November.

Ketika saat kami cuba bangun mengumpul semangat yang hilang, demi memastikan Sinar Harian tetap teguh menjadi wadah penyampai sekali lagi kami diuji.

"Hari ini Sinar Harian terpaksa merelakan sebuah lagi kepergian. Semoga Allahyarham Datuk Baharom Mahusin, yang baru menghembuskan nafas terakhir beliau di Pusat Perubatan Unversiti Malaya (PPUM) damai di sana. Saya bersaksi bahawa arwah seorang yang amat baik. Semoga ALLAH SWT memberi tempat terbaik buat beliau."

Demikian ciapan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub pada pagi itu di Twitternya.

Sekali lagi Sinar Harian berduka.

Aku tidak pernah melihat senario Facebook ku penuh dengan gambar kenangan kawan satu pejabat bersama beliau.

Walaupun hanya dua tahun bersama kami namun sikap ambil berat dan dedikasi dalam bekerja membuatkan kami rapat.

Aku ketika itu mengendalikan portal sekolah, GPS Bestari.com.

Bukan sedikit nasihat dan bimbingan yang diberikan.

Seorang yang rajin, berdedikasi, tegas dan teliti dalam pekerjaan tambah lagi dalam soal tata bahasa.

Melakukan kesalahan tata bahasa itu adalah 'dosa besar' dalam dunia kewartawanan. Ini pesannya ketika mula-mula menemui tim GPS Bestari.

Saya (tiga dari kiri) bersama Allahyarham Datuk Baharom pada Malam Ragaman Sinar Harian pada Disember 2019.
Saya (tiga dari kiri) bersama Allahyarham Datuk Baharom pada Malam Ragaman Sinar Harian pada Disember 2019.

Aku dihubungi rakan sekolah beliau, Datuk Wan Jamaludin Wan Abdul Malik bertanyakan jenazah dibawa ke mana kerana mereka ingin menyertai solat jenazah nanti.

Katanya, "Baharom yang saya kenal tidak pernah berubah, dari zaman sekolah begitulah dia, cakapnya lemah lembut, sentiasa tersenyum dan suka membantu."

Pada kami, beliau seorang guru, penasihat dan pembimbing yang sukar diganti.

Walaupun hanya dua tahun menerajui Sinar Harian, namun sikap ambil tahu dan prihatin membuatkan beliau dekat di hati semua orang bagaikan sudah lama bekerja bersama.

Jujurnya, aku tidak pernah memuat naik sebarang status di media sosial mengenai pemergian dua nama besar itu, terlalu sedih dan sangat berasa kehilangannya.

Tambah lagi, tiada daya untuk aku menulis apa-apa dan apa yang kalian baca, inilah perkongsian pertama yang mengambil masa beberapa hari untuk disiapkan.

23 tahun yang panjang

Allahyarham Datuk Jalil sebenarnya salah satu sebab mengapa aku menyertai Kumpulan Media Karangraf, 23 tahun lalu.

Sebaik selesainya kertas akhir peperiksaan tahun akhir di Fakulti Pengajian Media, Universiti Malaya aku dan seorang kawan, Mohd Akhmal Abu Bakar terus menghantar 'resume' ke pejabat Kumpulan Media Karangkraf yang ketika itu terletak di Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Ketika itu tahun 1997 dan Karangkraf hanya beroperasi di rumah kedai tiga tingkat.

Hasrat kami ingin menyerahkan sendiri kepada Bos Jalil, tetapi hanya disambut Pengurus Bahagian Sumber Manusia, Samsudin.

Selang beberapa hari, selepas menyelesaikan beberapa perkara aku pulang ke kampung, dengan hasrat membantu menguruskan perniagaan kedai runcit ayah untuk beberapa bulan.

Adatlah 'budak baru nak up' penantian itu menyeksakan. Tidak sampai seminggu, aku sudah 'follow up'.

Aku minta disambungkan kepada Ketua Pengarang, Abd Jalil Ali dan alhamdulillah, panggilan dijawab.

"Saya suka semangat kamu ni. Kami tengah proses, nanti jika terpilih kamu akan dipanggil untuk interview." Itu antara ayat beliau yang masih aku ingat.

Aku pernah sekali bertemu beliau, ketika Majlis Malam Perdana Persatuan Wartawan Melayu (PWM) pada tahun 1996.

Aku ketika itu masih di tahun dua jurusan Pengajian Media, Universiti Malaya ditugaskan menguruskan tetamu VIP dan beliau salah seorang ahli jawatan kuasa penganjur.

Antara tetamu kehormat lain yang hadir pada malam itu ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dan Timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menteri Kabinet yang lain.

Majlis tersebut bersempena Persidangan Media Sedunia anjuran PWM.

Sejak dari sekolah menengah lagi aku memang suka tulisan Datuk Jalil di majalah Seri Dewi dan Keluarga. Santai dan bersahaja.

Inilah salah satu sebab mengapa aku memilih untuk bekerja di Karangkraf.

Tiga hari selepas panggilan pertama, aku sekali lagi gatal tangan menelefon. Kali ini panggilan disambungkan tetapi Jalil yang satu ini suaranya lain.

Aku bercerita lebih kurang dan bertanyakan mengenai permohonan kerja saya.

"Ha.. aku memang perlukan orang, ko datang esok boleh? Terus kerja nanti aku uruskan." Rupa-rupanya kali ini Jalil Yusoff (arwah), editor majalah Fokus SPM.

Dua hari kemudian aku melapor diri sebagai wartawan Fokus SPM.

Pada hari pertama, aku ke pejabat Datuk Jalil untuk melalui sesi 'interview' sebelum memulakan tugas.

Itulah kali pertama aku bersemuka dengan lelaki tinggi lampai dan berambut putih itu secara berdepan. Orangnya memang lucu, suka bergurau sebagaimana tulisannya dalam majalah, sarat dengan ilmu.

Aku sempat menyiapkan satu keluaran Fokus SPM sebelum ditutup dan aku dipindahkan ke majalah Remaja.

Allahyarham Datuk Jalil (kanan) banyak memberi peluang kepada saya untuk mengembangkan bakat penulisan dan kerjaya.
Allahyarham Datuk Jalil (kanan) banyak memberi peluang kepada saya untuk mengembangkan bakat penulisan dan kerjaya.

Biliknya di tingkat dua, sesekali beliau akan turun menjenguk kami di tingkat satu.

"Markonah... Fatimah.. Rokiah.." itulah panggilan kepada kami yang perempuan. Dalam keadaan spontan, nama yang betul seakan susah nak keluar daripada bibirnya.

Bukan beliau tidak ingat, tetapi nama-nama itu yang terlebih dahulu muncul di fikirannya, maka kami mengiyakan aje.

Selorohnya untuk kahwin lagi satu pula, aku dengar berulang kali.

Malah, isteri beliau, Kak Pah dengan sifatnya yang kuat mengusik.

Namun, komitmen beliau pada kerja tiada siapa yang boleh sangkal.

Pada aku, beliaulah ketua, ayah, rakan dan juga pendengar yang setia.

Tempat mendapatkan bimbingan dan kata-kata semangat ketika lelah malah beliau juga tempat meluahkan segala masalah.

Aku kira, banyak rahsia pekerja Karangkraf yang tersimpan kemas dalam kotak fikirannya.

Kehilangan yang tiada ganti

Beliau memberi banyak peluang kepada saya untuk mengembangkan bakat penulisan dan kerjaya.

Ketika Karangkraf mendapat francais untuk menerbitkan majalah Dewan Pelajar, Dewan Masyarakat, Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik, Dewan Siswa serta Dewan Agama dan Falsafah, saya terpilih untuk menyertai kumpulan itu dengan menjadi wartawan Dewan Kosmik, editornya, Hashim Anang sebelum dilantik menjadi Editor Dewan Kosmik.

Jabatan kami bersebelahan dengan bilik beliau di tingkat dua dan setiap masa beliau akan tanya apa isu bulan ini.

Bila ada yang menarik, beliau akan turut memberi idea dan siapa yang harus ditemubual.

"Kau buat ni betul-betul, interview si polan dan si polan, siapkan betul-betul dan masuk Anugerah Kewartawanan Institut Akhbar Malaysia (MPI)," katanya suatu petang.

Kata-kata keramat itulah saya pegang hingga usaha saya melonjak tahap 'langit ke tujuh'.

Hasilnya, saya menerima Anugerah Kewartawan Sains dan Teknologi anjuran Kementerian Sains dan Teknologi serta MPI dua kali berturut-turut, iaitu pada 1998 dan 2000.

Saya juga memenangi Anugerah Kewartawan Alam Sekitar pada tahun 2000.

Kesemua anugerah itu tidak mungkin saya capai dengan pengalaman kerja setahun jagung tanpa bimbingan seorang sifu hebat seperti beliau.

Sebaik mendapat wang kemenangan, saya belanja beliau dan rakan-rakan di Restoran Raja Sup yang menyajikan semua jenis anggota badan lembu termasuk telinga dan bibir. Itu restoran kegemaran beliau.

Esoknya beliau tidak datang pejabat kerana tekanan darahnya naik.

Apabila Sinar Harian yang dibuka di Kelantan pada 31 Julai 2006 dan beroperasi di Shah Alam, saya dipindahkan ke jabatan itu setelah kontrak francais dengan Dewan Bahasa dan Pustaka tamat.

Ketika itu saya ditugaskan di Meja Rencana dan Datuk Jalil selaku ketua pengarang.

Walaupun sebelum ini pernah bekerja di semua syarikat akhbar, bukan mudah untuk mendapatkan kembali rentak setelah berbelas tahun di jabatan majalah.

Faham dengan masalah kebanyakan kami ketika itu, Datuk Jalil mengadakan kursus untuk semua wartawan Sinar Harian termasuk kami.

Pada saya, beliaulah akar tunjang kepada akhbar Sinar Harian yang kini menjadi media nombor satu negara.

Buat Datuk Jalil dan Datuk Baharom, bersemadilah dengan aman, segala ilmu yang dicurahkan kami akan gunakan untuk kebaikan supaya pahala akan berterusan mengalir.

Kalian telah meninggalkan legasi yang sangat bermakna buat bangsa dan negara. Damailah di sana. Pergilah dahulu nanti kami semua akan menyusul. Al-Fatihah.

Perginya legenda dunia penulisan 2020 CUT! Sepanjang 2020 ini, dunia kewartawanan kehilangan dua tokoh penulisan...

Posted by Sinar Harian on Thursday, December 31, 2020