Bot karam: Asaari ditemukan lemas

Jenazah mangsa dibawa pulang dari Pulau Perhentian ke Jeti Maritim Malaysia Kelantan pada jam 10 malam menggunakan Kapal Maritim (KM) Tok Bali. Gambar kecil: Mangsa
Jenazah mangsa dibawa pulang dari Pulau Perhentian ke Jeti Maritim Malaysia Kelantan pada jam 10 malam menggunakan Kapal Maritim (KM) Tok Bali. Gambar kecil: Mangsa
A
A
A

PASIR PUTEH - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir bot karam di perairan Pulau Perhentian, Terengganu, sejak empat hari lalu akhirnya menemui noktah apabila Asaari Leh, 46, ditemukan lemas pada petang Ahad.

Mayat Asaari ditemukan dalam keadaan terapung oleh orang awam di pantai Pulau Perhentian Kecil pada jam 5.30 petang tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, mayat tersebut ditemui kira-kira 8.3 batu nautika dari tempat insiden itu berlaku.

"Proses membawa pulang jenazah mangsa mengambil masa lebih dua jam berikutan cuaca buruk di laut.

"Terdahulu jenazah mangsa telah dibawa pulang dari Pulau Perhentian ke Jeti Maritim Malaysia Kelantan menggunakan Kapal Maritim (KM) Tok Bali," katanya kepada pemberita di Jeti Maritim Malaysia Tok Bali di sini, Ahad malam.

Menurutnya, sejurus tiba di muara Tok Bali, jenazah mangsa terpaksa dipindah ke Bot Penyelamat 7 untuk dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Tok Bali.

Beliau berkata, tepat jam 10 malam jenazah tiba dengan selamat di jeti berkenaan.

Muhd Nur Syam Asmawie berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan, mangsa yang memakai jaket keselamatan telah cuba berenang ke kawasan pulau untuk menyelamatkan diri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagaimanapun usaha mangsa itu berkemungkinan besar gagal disebabkan oleh keadaan laut yang bergelora ketika kejadian.

"Jenazah kemudian diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu kakak tiri mangsa, Rohana Mohamad, 52, berkata, keluarganya mengesahkan jasad tersebut adalah milik Asaari.

Katanya, keluarga menerima pemakluman berhubung penemuan jasad itu pada jam 6.40 petang.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, empat nelayan bertarung nyawa hampir 15 jam di lautan untuk menyelamatkan diri selepas bot yang mereka dinaiki karam

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, kumpulan nelayan tersebut terpaksa berenang sejauh 12.6 kilometer sambil melawan pukulan 'ganas' ombak susulan laut bergelora dan angin kencang.

Empat mangsa yang selamat itu ialah tekong bot Azhar Tengku Long, 47, dan anaknya Tuan Azrizal, 19 serta dua lagi awak-awak iaitu Norizan Yusof, 45, dan Mohd Azri Mohd Rasdi, 28.

Kesemua mereka ditemui oleh penduduk setempat di Pantai Coral View, Pulau Perhentian Besar pagi Jumaat selepas bertarung nyawa hampir 15 jam di lautan untuk menyelamatkan diri.