X

Kindly register in order to view this article
!

Gotong-royong muafakat perpaduan

A
A

GOTONG-ROYONG adalah salah satu budaya rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu yang semakin ditelan zaman.

Dalam suasana masyarakat majmuk di Malaysia, aktiviti gotong-royong sebenarnya mampu mewujudkan persefahaman antara kaum melalui semangat bantu-membantu dan bekerjasama.

Bak kata pepatah Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kerja yang berat boleh menjadi mudah jika dilakukan bersama-sama.

Contohnya, sama-sama membersihkan taman permainan, longkang, persekitaran taman perumahan mahupun rumah ibadat. Itulah prinsip gotong-royong.

Baru-baru ini, Macma Kelantan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kelantan serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Kechik telah menjalankan gotong-royong muafakat perpaduan di persekitaran rumah ibadat Buddha bagi masyarakat Siam dan Cina di Kampung Muring, Tanah Merah, Kelantan.

Banjir gelombang kedua di Kelantan, walaupun tidak seteruk tahun-tahun sebelumnya tetap meninggalkan kesan selut dalam bangunan dan sampah-sarap di kawasan lapang bersebelahan bangunan akibat air yang naik setinggi paras dada manusia dewasa. Kampung Muring merupakan kawasan rendah yang berdekatan sungai dan sering dilanda banjir pada musim tengkujuh.

Program berkenaan adalah yang terakhir antara Macma Kelantan dengan Pengarah JPNIN Kelantan, Norwahidah Zinalibdin yang akan berpindah ke negeri Johor seminggu lagi.

Program gotong-royong tersebut melibatkan kerjasama orang ramai yang berketurunan Melayu, Siam dan Cina.

Selain membersihkan kawasan persekitaran yang boleh juga menyihatkan tubuh badan, ia juga menjadi platform mewujudkan keharmonian kaum menerusi aktiviti bersama.

Program sebegitu membuka ruang untuk mewujudkan persefahaman bagi menangkis segala prasangka atau salah faham.

Bukan sahaja gotong-royong membersih kawasan, kenduri atau aktiviti lain juga dapat diadakan secara bergotong-royong. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Melihat kepada budaya semasa, semakin ramai yang lebih gemar mendapatkan khidmat katering atas faktor kemudahan, walaupun kosnya mungkin lebih tinggi berbanding melakukan semuanya sendiri secara gotong-royong.

Dahulu, masyarakat sekampung akan sama-sama menyingsing lengan untuk membantu. Golongan ibu akan sama-sama mengupas dan memotong bawang sambil bertanya khabar serta berita (di sinilah timbulnya istilah membawang), manakala golongan bapa pula menyembelih lembu atau kambing, memotong serta menyiapkan daging untuk dimasak di dalam kawah besar.

Begitu jugalah dengan aktiviti memasak bubur asyura yang dikenali sebagai 'kuca suro' di Kelantan. Proses penyediaan dan memasak yang agak lama mengambil masa beberapa jam secara tidak langsung menggalakkan banyak komunikasi. Ia memberi peluang untuk saling mengenal, mewujudkan permuafakatan dan mengeratkan perpaduan.

Gotong-royong semakin dilupakan terutama dalam kalangan masyarakat moden yang tinggal di bandar-bandar besar. Ramai yang tidak tahu nama jiran, apatah lagi saling mengenali. Tak kenal maka tak cinta. Bagaimana hendak berbaik jika kenal pun tidak?

Budaya gotong-royong adalah budaya masyarakat kita sejak turun-temurun. Ia dapat mengeratkan silaturahim, merapatkan ukhuwah atau persahabatan dan wajar dipupuk semula. Penglibatan semua pihak dalam hal itu mampu membina kembali dan menyuburkan semangat perpaduan.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!