Semoga Malaysia terus pulih

A
A
A

TAHUN 2020 penuh dengan dugaan dan sejarahnya tersendiri, sama ada dalam hal ehwal keselamatan, ekonomi mahupun politik yang sentiasa bergolak dan dinamik.

Tahun 2020 juga kita diperkenalkan dengan kelaziman baharu yang kini menjadi cara hidup dan budaya yang sentiasa perlu dipatuhi.

Pada peringkat awal kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), usaha itu berjaya mengawal wabak, namun Covid-19 menjejaskan mata pencarian dan ekonomi negara.

Menjelang tahun baharu, kita biasanya akan berazam agar perubahan itu lebih baik dan mendatangkan faedah. Bagi pihak pemerintah, pelbagai usaha dirancang dan akan dilaksanakan agar rakyat terus dibela.

Di sebalik pelbagai cabaran akibat Covid-19, pihak kerajaan yang berteraskan prinsip prihatin telah mengambil kira semua aspek dan kebajikan seluruh lapisan masyarakat dalam perancangan sektor ekonomi, kesihatan, pendidikan serta sosial.

Usaha memulihkan ekonomi negara dalam keadaan sekarang bukanlah tugas mudah, namun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif melibatkan semua peringkat. Inisiatif itu bertujuan meringankan beban rakyat dan memastikan tiada golongan yang tercicir.

Kerajaan telah mengambil langkah yang tepat dan berani dalam menyemak semula Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dari RM980 pada tahun 2005 kepada RM2,208.

Langkah itu penting bagi memastikan rakyat yang berada di bawah garis kemiskinan dan golongan rentan sentiasa diberi tumpuan dalam strategi pembangunan ekonomi. Agenda membasmi kemiskinan adalah antara agenda penting negara.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan telah mengambil pendekatan yang inklusif bagi menangani isu kos sara hidup, kelangsungan hidup rakyat dan membasmi kemiskinan khususnya ketika Covid-19 dengan memperkenalkan empat pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion.

Ia merangkumi pelbagai langkah untuk memelihara kesejahteraan hidup rakyat, menjamin kelangsungan dan lonjakan perniagaan serta memastikan ekonomi berada di landasan pemulihan.

Pelbagai langkah proaktif dan inovatif telah diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat sepanjang tahun 2020 melalui pakej rangsangan ekonomi tersebut.

Melalui pakej itu, seramai 10.6 juta rakyat telah menerima Bantuan Prihatin Nasional. Sebanyak RM12.928 bilion telah memberi manfaat kepada seramai 326,136 majikan bagi mengekalkan seramai 2.67 juta pekerja melalui Program Subsidi Upah.

Selain itu, sebanyak 830,314 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro mendapat bantuan Geran Khas Prihatin.

Keprihatinan kerajaan juga terbukti apabila seramai lapan juta peminjam individu dan PKS menikmati manfaat daripada moratorium bayaran pinjaman bank.

Inisiatif itu menyaksikan Malaysia adalah antara negara pertama di dunia yang mengumumkan moratorium pukal selama enam bulan, yang kemudiannya diikuti moratorium bersasar.

Secara keseluruhan, pakej rangsangan ekonomi adalah pakej rangsangan terbesar dalam sejarah negara dan antara yang terbesar di Asia.

Kerajaan juga telah menubuhkan beberapa majlis pada peringkat tertinggi, antaranya Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Kemakmuran Bumiputera, Majlis Pekerjaan Negara, Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara serta Majlis Khas Perjanjian 1963 Sabah Sarawak.

Ia membuktikan komitmen kerajaan bagi terus memastikan pembangunan ekonomi yang seimbang di seluruh pelosok negara.

Setakat ini Malaysia masih kekal antara 30 ekonomi paling kompetitif di dunia dengan pencapaian ekonomi antara 10 terbaik di dunia mengikut laporan World Competitiveness Ranking 2020 oleh Institute of Management Development (IMD).

Justeru, marilah kita bersama-sama menggembleng kekuatan dan kecekalan untuk melangkah ke tahun baharu 2021 dengan semangat yang lebih kental agar ekonomi Malaysia terus pulih dan rancak berkembang serta megah di persada antarabangsa.

Kita mengharapkan agar Malaysia bebas daripada ancaman Covid-19, namun kunci kejayaannya melalui rakyat yang bersatu-padu, makmur dan sejahtera.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara