Terengganu dilanda banjir gelombang kelima

Keadaan banjir yang berlaku di Dungun pada Ahad. -Foto: APM
Keadaan banjir yang berlaku di Dungun pada Ahad. -Foto: APM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hujan lebat berterusan yang melanda beberapa kawasan sejak dua hari lalu menyebabkan Terengganu dilanda banjir gelombang kelima melibatkan dua daerah iaitu Kemaman dan Dungun.

Sehingga jam 7 malam Ahad, sebanyak tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 138 mangsa daripada 40 keluarga yang terjejas di dua daerah berkenaan.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Dungun merekodkan jumlah mangsa paling ramai dipindahkan iaitu 92 orang.

“Kesemua mereka ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukor yang mula dibuka sejak jam 6.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Che Adam, sebuah PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, Kemaman pula diaktifkan pada jam 6.30 petang bagi menempatkan seramai 46 mangsa dari 11 keluarga yang terjejas selepas rumah mereka dinaiki air.

Terengganu mula dilanda banjir pada 17 November lalu melibatkan daerah Setiu dengan lebih 57 mangsa dipindahkan di empat PPS.

Negeri ini kemudian melalui tiga lagi episod banjir dengan bah gelombang keempat yang bermula 17 Disember dan pulih sepenuhnya pada 23 Disember apabila lebih 7,000 mangsa terjejas dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Artikel Berkaitan: