Najib fail rayuan terhadap keputusan AG

Datuk Seri Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan pendakwa raya menarik balik sijil bagi memindahkan tujuh pertuduhannya berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihak pembelaan telah memfailkan notis rayuan petang tadi bersama-sama perakuan segera.

“Kami juga akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kami untuk menangguhkan perbicaraan pada Isnin. Kami telah meminta penangguhan, kami membuat permohonan kepada Hakim Mahkamah Tinggi tetapi tidak dibenarkan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib dilepas tanpa dibebaskan terhadap tiga pertuduhan

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijadualkan bermula Selasa ini, 12 Februari.

Muhammad Shafee berkata demikian kepada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Kamardin Hashim, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah apabila kes didengar di hadapan panel tiga hakim.

Panel hari ini dijadualkan mendengar tiga rayuan berkaitan permohonan Najib bagi perintah larangan untuk menghalang media membincangkan merit kes jenayahnya, permohonannya bagi mendapatkan beberapa dokumen dan pernyataan serta tindakannya mencabar pelantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Ketiga-tiga permohonan itu telah ditolak oleh Mohd Nazlan.

Artikel Berkaitan:

Pagi ini, Mohd Nazlan membenarkan permohonan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menarik balik sijil untuk memindahkan tujuh kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya (2017) dan M. Indira Gandhi (2018), yang menimbulkan keraguan berhubung kuasa oleh Pendakwa Raya untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Sebelum itu, Muhammad Shafee memberitahu panel Mahkamah Rayuan itu bahawa keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik sijil itu akan membatalkan keseluruhan prosiding kes.

"Keseluruhan prosiding itu boleh dipersoalkan," katanya sambil menambah bahawa mahkamah sepatutnya mendengar rayuan berhubung sijil pemindahan terlebih dahulu sebelum mendengar ketiga-tiga rayuan tersebut.

Thomas menegaskan bahawa rayuan hari ini berkaitan dengan tiga rayuan dan tiada kaitan dengan rayuan berhubung sijil pemindahan.

“Rayuan hari ini tiada kaitan dengan keputusan yang dibuat pagi ini. Prosiding di Mahkamah Tinggi dari Julai tahun lepas sehingga hari ini adalah sah. Sebarang keputusan mempunyai kesan prospektif, ia tidak mempunyai kesan retrospektif,” katanya dan menambah bahawa dengan berbuat demikian, pihak pembelaan hanya mahu menangguhkan perbicaraan.

Peguam Harvinderjit Singh yang juga mewakili Najib, berkata pembelaan tidak akan menggunakan rayuan semasa untuk penangguhan rayuan dan perbicaraan yang kemudian disoal Hakim Harmindar: “Adakah anda memohon penangguhan?

Peguam: “Ya, untuk tiga rayuan tetapi bukan perbicaraan.”

Mahkamah menetapkan 11 dan 12 Mac untuk mendengar ketiga-tiga rayuan itu.