X

Kindly register in order to view this article
!

Wisma Putra, Singapura bincang SOP rentas sempadan

Hishammuddin beramah mesra dengan mangsa yang terkandas selepas jalan Kluang - Mersing terputus dilanda banjir ketika melawat ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sembrong, Kluang pada Ahad. -Foto Bernama
A
A

KLUANG - Kementerian Luar sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan Singapura berhubung prosedur operasi standard (SOP) rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi membolehkan orang ramai melakukan perjalanan atas dasar belas ihsan seperti menziarahi keluarga yang sakit.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, buat masa ini tiada SOP yang selaras berhubung perjalanan rentas sempadan atas dasar belas ihsan.

“Kita anggap mereka ini sebagai compassionate groups, mereka yang hendak membuat lawatan kepada ibu, bapa atau keluarga yang sakit,” katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sembrong di sini pada Ahad.

Menurutnya, setakat ini SOP berhubung perjalanan atas dasar belas ihsan hanya secara ad hoc dan sekiranya ada kes tertentu, orang ramai perlu membuat rayuan untuk merentas sempadan.

“Jadi, sekarang ini saya sedang bincang dengan Singapura supaya ada SOP yang selaras untuk kes sebegitu (belas ihsan),” katanya.

Terdahulu, Hishammuddin yang merupakan Ahli Parlimen Sembrong melawat seramai 71 orang daripada 25 keluarga yang terkandas perjalanan dari Mersing ke Kluang susulan laluan terputus akibat banjir di Batu 17 dan 18, Jalan Kluang-Mersing, yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di sekolah terbabit.

“Saya buat lawatan hari ini (Ahad) kerana saya terima berita bahawa kes air naik dari pagi semalam (Sabtu), jadi hendak tengok sendiri mangsa yang ada di pusat pemindahan ini,” katanya.

Selain SMK Seri Sembrong beliau turut melawat dua PPS di Kampung Muhibbah dan Chamek, kedua-duanya di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!