Peserta konvoi ditahan beraksi ala Superman

Antara motosikal milik peserta konvoi yang disita. - Foto hsan IPD Hulu Terengganu, gambar kecil: Mohd Adli Mat Daud
Antara motosikal milik peserta konvoi yang disita. - Foto hsan IPD Hulu Terengganu, gambar kecil: Mohd Adli Mat Daud
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang daripada 13 peserta konvoi motosikal ditahan kerana menunggang secara berbahaya di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2, dalam Ops Samseng Jalanan, kira-kira jam 3.30 petang Sabtu.

Remaja berusia 17 tahun itu yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 ditahan selepas melakukan aksi berbahaya di Kilometer (KM) 417 hingga KM 411 dari arah Telemong - Ajil di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, setibanya di lokasi, anggota dapati terdapat sekumpulan 13 motosikal yang mana salah seorang daripada mereka sedang asyik menunggang aksi berbahaya ala Superman.

“Kemudian, mereka diekori sebelum berhenti di Hentian Rehat dan Rawat Ajil (arah Telemong - Ajil) dan di hentian tersebut, remaja berkenaan terus ditahan mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana menunggang secara melulu. Pemeriksaan ke atas 13 motosikal berkenaan juga mendapati enam daripadanya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60 (APJ )1987.

“Seterusnya, remaja tersebut dan 13 penunggang serta seorang pembonceng bersama kenderaan masing-masing dibawa balik ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Mohd Adli berkata, siasatan awal mendapati kumpulan konvoi itu dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu hendak pulang ke Melaka selepas bercuti selama tiga hari di negeri ini dan menginap di sebuah rumah rehat di Teluk Ketapang, Kuala Nerus.

“Hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati seorang daripada mereka yang berusia 21 tahun, positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Sebanyak 60 saman dikeluarkan terhadap kesemua penunggang motosikal termasuk kesalahan tiada lesen memandu (4), tiada cermin sisi (6), nombor pendaftaran 'fancy' (19), ubai suai aksesori (12), brek tidak berfungsi (4), Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) tamat tempoh (6), tiada perlindungan insurans (5), lesen tamat tempoh (1) dan tidak pamer P (3),” katanya.

Artikel Berkaitan: