Banjir di tiga negeri terus meningkat: NADMA

Setakat hari ini banjir hampir mencecah paras bumbung rumah penduduk Taman Maran Jaya selepas hujan lebat turun selama dua hari. -Foto Bernama
Setakat hari ini banjir hampir mencecah paras bumbung rumah penduduk Taman Maran Jaya selepas hujan lebat turun selama dua hari. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Situasi semasa banjir di tiga negeri terus menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 66 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di 12 daerah sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Nur Daliza Dohat berkata, daripada jumlah tersebut, terdapat 13 PPS aktif di Pahang, 51 PPS di Johor dan dua PPS di Sabah.

Menurutnya, jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di PPS ialah sebanyak 5,943 mangsa daripada 1,598 keluarga.

“Di Johor, daerah yang terlibat adalah Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulaijaya dan Pontian di mana sehingga kini melibatkan 5,265 mangsa daripada 1,405 keluarga dan trend didapati meningkat.

“Bagi Pahang pula, daerah yang terlibat adalah Jerantut, Maran, Raub, Rompin dan Temerloh di mana 13 PPS telah dibuka menempatkan 462 orang mangsa daripada 124 keluarga dan jumlah ini dijangka meningkat berdasarkan keadaan cuaca semasa.

“Dua buah PPS yang aktif di Kota Kinabalu, Sabah menempatkan 216 mangsa daripada 69 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada masa sama, Nur Daliza berkata, NADMA dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Daerah (JPBD) sentiasa aktif membuat pemantauan dan koordinasi menyelamat dan pengurusan mangsa banjir sehingga kini.

Katanya, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) turut berada di lokasi dengan membawa bersama asetnya seperti lori dan bot untuk memberi bantuan kepada agensi penyelamat negeri dan daerah.

Artikel Berkaitan:

“Koordinasi di PPS oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan sokongan Jabatan Kesihatan Negeri dan daerah serta lain-lain agensi penyelamat didapati baik dan tersusun,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 2,551