Berdebar-debar setiap kali musim tengkujuh

Che Adam (dua, kanan) bersama Bazlan (kanan) melakukan tinjauan hakisan yang berlaku di Kampung Pengkalan Maras pada Ahad. - Foto Bernama
Che Adam (dua, kanan) bersama Bazlan (kanan) melakukan tinjauan hakisan yang berlaku di Kampung Pengkalan Maras pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Masalah hakisan pantai disebabkan fenomena air laut pasang besar yang semakin meruncing di kawasan Batu Rakit di sini, kini menjejaskan lebih 100 penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, kebanyakan yang terkesan adalah pengusaha kedai makan, pengusaha resort, pemilik premis perniagaan dan penduduk kampung, yang tinggal berdekatan Pantai Tanjung Gelam sehingga Pantai Pengkalan Maras.

“Sebab itu saya harap tindakan segera dapat diambil, kerana semakin banyak kerosakan yang dihadapi. Kerugian akibat kerosakan ini bukan sahaja perlu ditanggung penduduk malah pihak kerajaan juga, kerana jalan raya, lampu jalan dan kemudahan awam yang lain sering rosak dan musnah.

“Walaupun belum lagi ada penduduk yang terpaksa berpindah, namun mereka yang tinggal berdekatan pantai memang rasa berdebar-debar setiap kali musim tengkujuh, kerana risau rumah runtuh akibat hakisan,” katanya ketika meninjau kawasan yang mengalami hakisan yang teruk di Pantai Pengkalan Maras, di sini pada Ahad.

Kerajaan Pusat sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM90 juta bagi kos projek kawalan hakisan pantai di Kuala Nerus, melibatkan kawasan Tok Jembal, Pantai Mengabang Telipot dan Pengkalan Maras.

Selain itu Kementerian Alam Sekitar dan Air meluluskan peruntukan segera RM800,000 bagi pembinaan benteng di kawasan Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Maras, yang mengalami masalah hakisan yang serius.

“Saya harap sama ada kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan, menyegerakan projek yang telah dirancang bagi membendung masalah hakisan yang lebih besar nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman yang turut menyertai tinjauan tersebut berkata, masalah hakisan termasuk Batu Rakit adalah disebabkan fenomena air laut pasang besar disertai dengan angin kencang yang membawa ombak besar, sehingga melimpah ke kawasan kediaman dan premis perniagaan.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa ini, Jabatan Meteorologi Malaysia memberi amaran kategori ketiga iaitu angin bertiup kencang dan ombak mencapai ketinggian antara tiga hingga lima meter, dan angin antara 40 hingga 50 kilometer sejam dan ia sangat kuat dan bahaya kepada komuniti yang berada di kawasan pantai,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga kedai makanan berasaskan makanan laut Semek Mamat, 73, berkata, keadaan angin kencang dan ombak besar pada tahun ini adalah yang paling teruk dirasai, berbanding pada musim tengkujuh tahun-tahun sebelum ini.

Katanya, kini beliau terpaksa menanggung kerugian ekoran limpahan air laut, yang disifatkannya semakin ‘menjadi-jadi’ dan merosakkan sebahagian kedainya.

“Walaupun hakisan semakin serius makcik terpaksa buka juga kedai hari ini, kerana telah dua hari tidak beroperasi jadi makcik tidak mahu kerugian lagi.

"Kalau kedai tidak beroperasi ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan makcik, tetapi juga para pekerja,” katanya. - Bernama