X

Kindly register in order to view this article
!

BN boleh rampas Parlimen Alor Setar jika UMNO bertanding

Mohd Yusof Ismail
A
A

ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) mampu merampas kerusi Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) daripada Pakatan Harapan (PH) sekiranya MCA memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, jumlah populasi orang Melayu yang mencecah hampir 65 peratus pada kawasan Parlimen berkenaan menjadi salah satu faktor calon daripada parti Melayu terbesar itu perlu diletakkan.

Menurutnya, calon MCA dilihat berdepan kesukaran untuk kembali memenangi kerusi tersebut pada PRU15 selepas tewas pada PRU14 dan PRU13.

"UMNO mempunyai alasan kukuh mengapa mahu bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar kali ini. Perkara ini sudah disuarakan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi Hamid beberapa kali dan terbaharu pada dua minggu lalu.

"Bagi persediaan PRU15 pula, pelbagai perkara sudah dilakukan oleh UMNO Alor Setar termasuk melantik seramai 1,500 ahli jentera bagi menjaga kira-kira 45,000 pengundi Melayu di Parlimen berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Kedah di Bangunan Tunku di sini pada Ahad.

Mohd Yusof berkata, untuk tujuan tersebut, UMNO Alor Setar sudah bersiap sedia, malah momentum dan sokongan orang Melayu juga semakin baik selepas UMNO menjalinkan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN).

"Jika MCA kata mereka yakin boleh menang pada PRU15, mereka kena buktikan. Sepanjang musim Covid-19 ini, pelbagai bantuan telah dihulurkan oleh UMNO Alor Setar dengan membantu 8,000 keluarga walaupun kami adalah pembangkang di Parlimen berkenaan.

"Usul yang mahu calon UMNO bertanding di Parlimen Alor Setar juga mendapat maklum balas baik daripada masyarakat Cina yang mahukan BN kembali merampas kerusi ini daripada PH pada PRU15," katanya.

Pada Sabtu, UMNO Bahagian Alor Setar meluluskan usul mendesak MCA menyerahkan kerusi Parlimen Alor Setar kepada parti itu untuk bertanding pada PRU15.

Usul berkenaan dikemukakan salah seorang perwakilan, Fazil Hashim dari cawangan Tanjung Bendahara.

Fazil berkata, jumlah pengundi mengikut kaum di Alor Setar yang berdaftar adalah 80,530 orang melibatkan 64.37 peratus kaum Melayu, selain Cin (30.88 peratus), India (4.24 peratus) dan lain-lain (0.52 peratus).

Disebabkan perkara itu, katanya, ahli UMNO di peringkat akar umbi mahu UMNO meletakkan calon pada kerusi berkenaan kerana peluang untuk menang adalah lebih tinggi.

Sementara itu, UMNO Bahagian Kluang tekad mahu merampas kerusi Parlimen Kluang selain dua kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Mahkota dan Mengkibol yang kini menjadi milik pembangkang.

Ketuanya, Datuk Md Jais Sarday berkata, bagi memastikan UMNO mendapat semula kerusi berkenaan, gerak kerja tersusun perlu diatur bermula sekarang.

"Kesemua 86 Cawangan UMNO di Bahagian Kluang perlu bersinsing lengan menggerakkan usaha ini di bawah pengelolaan setiap pusat daerah mengundi.

"Kemenangan pembangkang pada PRU14 lalu adalah hanya bersandarkan persepsi yang disampaikan khususnya kepada anak-anak muda yang tinggal di luar Parlimen ini," katanya pada ketika berucap ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kluang di Pekan Rabu di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Bendahari UMNO Johor berkata, sokongan 100 peratus daripada orang Melayu di Parlimen Kluang selain bantuan daripada pengundi masyarakat Cina dan India amat diperlukan bagi kemenangan tersebut.

"Perjuangan untuk mendapatkan semula ketiga-tiga kerusi ini tidak mungkin akan tercapai tanpa kerja sama daripada parti-parti komponen," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!