X

Kindly register in order to view this article
!

Pemimpin UMNO jangan perlekeh suara akar umbi

Megat Zulkarnain ditemui pemberita pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), Gombak pada Ahad.
A
A

GOMBAK - Ketua UMNO Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin meluahkan rasa kurang senang apabila terdapat pemimpin parti itu yang menafikan suara akar umbi.

Megat Zulkarnain berkata, UMNO sepatutnya berterima kasih dengan ahli akar umbi yang masih setia dengan perjuangan parti meskipun tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menurutnya, beliau meminta pemimpin parti untuk kekal pendirian dengan tidak berubah setelah memegang jawatan dalam kerajaan.

"Pemimpin sama juga yang menyebut bahawa dalam ribuan cawangan UMNO, tak ada satu cawangan pun yang ditutup (selepas tewas PRU14) kerana mempunyai ahli yang setia.

"Tetapi jangan kita berubah. Apabila kita ada dalam jawatan tertentu, berada dalam Kabinet maka kita ubah pula ayat kita," katanya kepada pemberita ketika hadir ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) di sini pada Ahad.

Hadir sama, Yang Dipertua Pas Gombak, Salehuddin Nasir; Ketua MIC Gombak S Sugumaran dan Ketua MCA, Lawrence Yip.

Megat Zulkarnain berkata, suara akar umbi perlu dipertahankan kerana berjuang tanpa ada apa-apa kepentingan, sebaliknya berpandangan hanya UMNO mampu membela nasib rakyat.

"Hari ini kita perlelehkan mereka dengan mengatakan suara akar umbi tak begitu penting. Saya fikir ini salah. Bayangkan jika tiada akar umbi, apa akan jadi pada parti tersebut?

"Akar umbi kita jujur dan ikhlas, mereka tak ada kepentingan nak jadi menteri, jauh sekali timbalan menteri atau Timbalan Perdana Menteri, apatah lagi Perdana Menteri.

"Betul suara rakyat juga penting tapi sebelum kita dampingi rakyat, akar umbilah yang akan sampaikan mesej kita kepada rakyat, " katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, UMNO Gombak sebulat suara menyatakan pendirian menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pas yang memberikan kepercayaan kepada BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!