Pembatalan HSR 'bunuh' ekonomi Johor, negara

Pemuda UMNO Johor mendesak kerajaan memberi penjelasan terperinci mengenai pembatalan projek HSR.
Pemuda UMNO Johor mendesak kerajaan memberi penjelasan terperinci mengenai pembatalan projek HSR.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor menyifatkan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan 'membunuh' ekonomi negeri ini dan negara.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pembatalan HSR memberi kesan kepada reputasi Malaysia terhadap pelabur asing dan keyakinan negara luar terhadap negara ini selain kesan mikro ekonomi terhadap masyarakat di Johor khususnya.

Menurutnya, akibat pembatalan projek tersebut, kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM300 juta, sedangkan wang tersebut boleh digunakan untuk membantu rakyat Johor.

"Pemuda UMNO Johor mendesak kerajaan memberi penjelasan terperinci mengenai perkara ini kerana sebelum ini kerajaan yakin mengatakan HSR diteruskan.

"Kos keseluruhan asal pembinaan HSR untuk laluan sepanjang 350 kilometer ini dianggarkan menelan belanja RM110 bilion dan akibat pembatalan ini, kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM300 juta.

"Jumlah pampasan itu boleh menampung defisit kewangan Johor dan diagihkan kepada ramai penerima manfaat di negeri ini," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Malaysia dan Singapura memutuskan projek HSR dibatalkan selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Johor harap HSR diteruskan tanpa Singapura

Artikel Berkaitan:

Malaysia hormati Perjanjian Dua Hala dengan Singapura

[DIKEMASKINI] Projek kereta api laju HSR batal