Mesyuarat bincang mengenai penularan kes import B di Kedah

Dr Mohd Hayati Othman
Dr Mohd Hayati Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah akan mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Covid-19 bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) pada Isnin bagi membincangkan situasi terkini penularan Covid-19 membabitkan kes import B yang semakin meningkat di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Exco Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat dan pandangan daripada MKN dan JKN sebelum mengusulkan sebarang cadangan kepada MKN pusat.

Beliau berkata, sebanyak 47 kes yang dicatatkan pada Sabtu kebanyakannya merupakan kes import B membabitkan Kluster Beringin.

"Semalam (Sabtu) sahaja sebanyak 25 kes positif adalah daripada kluster berkenaan dan kebanyakannya adalah disebabkan penduduk dari Pulau Pinang yang pulang ke Kedah, lalu menjangkiti penduduk di sini.

"Kes ini banyak dicatatkan di Kuala Muda dan ada juga di Kulim, Baling dan terbaru di Sik seperti yang dilaporkan semalam (Sabtu). Selain itu terdapat juga kes yang dijangkiti daripada individu yang pulang dari Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya memandang serius jangkitan individu dari luar berikutan keadaan kes Covid-19 di negeri ini kembali terkawal setelah tamatnya beberapa kluster sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 di Kedah makin membimbangkan, namun terkawal

Beliau sehubungan itu menasihatkan semua pihak agar terus menjaga diri sendiri, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN.

Artikel Berkaitan:

“Jika kita dari kawasan wabak, kalau boleh jangan pulang ke kampung. Ada yang balik kemudian pergi kedai, pergi kenduri jumpa sanak saudara dan akhirnya menjangkiti orang lain,” katanya.

Sehingga Sabtu, Kedah mencatatkan sebanyak 47 kes baharu menjadikan kes aktif di negeri ini sebanyak 190 kes.