UMNO Tawau tuntut letak calon PRU15 di Parlimen

Ghazalie Ansing berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tawau, Ahad.
Ghazalie Ansing berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tawau, Ahad.
A
A
A

TAWAU - UMNO Bahagian Tawau menuntut untuk meletakkan calon bagi kerusi Parlimen Tawau dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing berkata, sudah tiba masanya untuk UMNO Tawau diberi kepercayaan memimpin Parlimen Tawau selepas sekian lama menyerahkan kerusi itu kepada parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Sudah tiba masanya untuk UMNO Tawau menjadi calon di Parlimen Tawau, kita sudah terlalu lama berkorban dan berkompromi untuk parti komponen lain tetapi nasib masyarakat Melayu dan Islam di Tawau masih tidak terbela sepenuhnya.

"Tidak ada parti lain yang mampu membela nasib kita selain UMNO, maka kita akan menuntut kerusi ini dalam PRU15," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tawau pada Ahad.

Sebelum ini, kerusi Parlimen Tawau merupakan milik Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai komponen BN dan kali terakhir dimenangi parti itu pada PRU13 melalui calonnya, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Bagaimanapun, pada PRU14, Mary tewas di tangan calon Parti, Datuk Christina Liew dengan majoriti yang besar.

Ghazalie berkata, dalam soal penentuan masa depan UMNO, beliau percaya gandingan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin akan mampu menguatkan lagi parti.

Katanya, ketika UMNO terumbang-ambing pada pasca PRU14, ramai pemimpin meninggalkan parti, namun dua pemimpin berkenaan antara yang kekal bertahan.

Artikel Berkaitan:

"Dulu kita dipijak tetapi kita mampu bertahan di bawah kedua-dua pemimpin tersebut, justeru kita perlu terus meletakkan kepercayaan kepada mereka kerana kebijaksanaan yang ada bukan hanya mampu membangkitkan kembali UMNO, malah menjatuhkan Pakatan Harapan (PH).

"Maka saya menyeru kepada ahli UMNO agar meletakkan lagi kepercayaan itu demi memastikan kita mampu meneruskan agenda membela nasib rakyat," katanya.

Terdahulu, perkara itu adalah antara dua usul yang diluluskan dalam persidangan itu.

Usul kedua yang diluluskan ialah menyerahkan sepenuhnya kepercayaan kepada Ahmad Zahid dan Bung Moktar menentukan kerjasama politik UMNO dalam pemerintahan negara.