Sungai di Kota Tinggi lepasi tahap bahaya, amaran

Laluan ke jambatan Kota Tinggi dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan Ahad.
Laluan ke jambatan Kota Tinggi dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sungai Rantau Panjang di daerah Kota Tinggi kini melepasi tahap bahaya, manakala tiga lagi sungai sudah melepasi tahap amaran.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi memaklumkan, Sungai Rantau Panjang kini melepasi paras bahaya 9.80 meter kepada 10.67 meter tengah hari tadi.

"Tiga sungai yang melepasi paras amaran ialah Sungai Johor kepada 2.55 meter (2.50 paras amaran), Sungai Pemandi kepada 2.57 meter (2.13 meter) dan Sungai Bang kepada 2.37 meter (2.13 meter).

"Sungai Johor pula sudah melimpah sejak jam 11 pagi tadi menyebabkan beberapa jalan utama dinaiki air," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beberapa gambar dan video keadaan sekitar bandar Kota Tinggi yang digenangi banjir tular sejak pagi Ahad menimbulkan keresahan berikutan daerah berkenaan pernah dilanda banjir besar pada 2006.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Rosleli Jahari berkata, banjir sejak tengah hari tadi itu disebabkan beberapa faktor termasuk air pasang besar dan hujan sejak Jumaat lalu.

"Setakat ini, keadaan banjir masih terkawal. Banyak faktor menyebabkan banjir ini termasuk kejadian air pasang besar. Penduduk dinasihatkan berhati-hati dan berwaspada," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, difahamkan kenderaan ringan tidak dibenarkan memasuki bandar Kota Tinggi atau menyeberang Jambatan Kota Tinggi berikutan paras air yang semakin tinggi sebaliknya menggunakan laluan alternatif di Jalan Kota Tinggi-Mersing.

Artikel Berkaitan:

Banjir yang melanda bandar Kota Tinggi pada Ahad.
Banjir yang melanda bandar Kota Tinggi pada Ahad.