X

Kindly register in order to view this article
!

Empat pasar malam diarah henti operasi sementara

Operasi empat pasar malam di Bukit Tambun dihentikan berikutan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 di kawasan Seberang Perai. (Gambar hiasan). - Foto Bernama Gambar kecil: Rozali Mohamud
A
A

BUKIT MERTAJAM - Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menghentikan sementara operasi empat pasar malam di kawasan Bukit Tambun berikutan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 di kawasan Seberang Perai.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, arahan tindakan segera telah dikeluarkan pihaknya bagi membendung peningkatan kes baharu Covid-19 termasuk meningkatkan lagi pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menurutnya, antara pasar malam yang diarahkan untuk menghentikan sementara operasi ialah di Taman Merak, Batu Kawan, Taman Kasawari dan Simpang Ampat.

"Kita akan memperketatkan lagi kawalan dan pemantauan pematuhan SOP di Pasar Awam Bukit Tambun Indah, Seberang Perai Selatan mulai Ahad.

"Selain itu, tindakan tegas ke atas penjaja tepi jalan haram di kawasan berdekatan asrama pekerja asing atau kediaman berkelompok pekerja asing kerana dibimbangi virus akan berjangkit kepada peniaga dan dibawa ke tempat lain," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Rozali berkata, antara tempat yang diberi tumpuan ialah di kawasan Jalan Merak 2 dan 5, Taman Belibis, Taman Kasawari, Pusat Perniagaan Seri Tambun, Jalan Bukit Tambun berhampiran Tambun Jaya.

"Saya mohon semua peniaga memberi kerjasama dengan mematuhi arahan ini untuk kita memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan di kawasan Seberang Perai," katanya.

Pada Sabtu, Pulau Pinang mencatatkan kes baharu Covid-19 mencecah 226 kes dan ia hasil saringan berterusan yang dijalankan sejak 9 Disember 2020 dalam kalangan warga asing di tapak-tapak pembinaan dan kilang-kilang di seluruh negeri Pulau Pinang.

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan bahawa daripada jumlah 226 kes, sebanyak 185 laporan adalah daripada kluster-kluster, termasuk 110 kes membabitkan kluster terbaharu iaitu Kluster Rawa Akasia.

Sehingga Sabtu, sebanyak sembilan kluster aktif dilaporkan di Pulau Pinang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!