Pemergian Azuan kehilangan besar kepada komuniti penerjun BASE

Insiden berlaku pada jam 5.35 petang Jumaat lepas (1 Januari) semasa arwah bersama tujuh lagi rakan penerjun sedang melakukan latihan terjunan BASE sebagai persiapan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021. - Foto Bernama
Insiden berlaku pada jam 5.35 petang Jumaat lepas (1 Januari) semasa arwah bersama tujuh lagi rakan penerjun sedang melakukan latihan terjunan BASE sebagai persiapan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pemergian penerjun BASE berpengalaman, Allahyarham Azuan Taharudin, 49, adalah suatu kehilangan besar kepada komuniti penerjun BASE kerana beliau merupakan sumber inspirasi kepada penerjun baharu serta mempunyai kepakaran dalam aspek teknikal.

Rakan seperjuangannya, Adi Khirman Marji berkata, beliau berkenalan dengan arwah sejak 2012 ketika melakukan skydiving (terjun udara) dan kemudian menceburi sukan ekstrem terjunan BASE bersama Allahyarham sejak 2014.

“Arwah adalah antara yang terawal menceburi sukan BASE jump. Kebanyakan aktiviti BASE jump dilakukan bersama arwah sebab dia merupakan sifu dan orang yang mahir dalam penyelenggaraan payung terjun.

“Tambahan, arwah akan mengkaji aspek-aspek teknikal sesuatu objek yang baharu sebelum melakukan terjunan.," katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp, di sini pada Ahad.

Adi berkata, pelbagai perancangan program yang dibincangkan bersama arwah untuk memartabatkan dan mengetengahkan komuniti penerjun BASE di Malaysia.

"Bagi saya dan rakan-rakan, kami akan terus melakukan aktiviti terjunan BASE ini dengan lebih berhati-hati dan tidak akan berpatah semangat," kata Adi yang mempunyai enam tahun pengalaman dalam sukan tersebut.

Adi berkata, beliau bangga kerana pernah beraksi bersama arwah dan antara pencapaian adalah di KL Tower International Jump 2016/17/18/19, Terjunan Hari Kebangsaan 2019, Teknikal bagi Malaysia Book of Record-7 Relay Challenge, Terjunan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018, Event Putrajaya BASE Jump 2020, gimik Sambutan Hari Keluarga KPWKM 2019, gimik acara BUDIRun UiTM 2020, Demo Jump Putrajaya International Hot Air Balloon Fiesta 2018 dan Terjunan Jubli Perak (25 tahun) Putrajaya 2019.

Allahyarham Azuan terkorban semasa melakukan latihan terjunan BASE di bangunan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada hari pertama 2021 dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan Kajang, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Peserta terjun tapak maut di Putrajaya

Insiden berlaku pada jam 5.35 petang Jumaat lepas (1 Januari) semasa arwah bersama tujuh lagi rakan penerjun sedang melakukan latihan terjunan BASE sebagai persiapan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.

Semasa terjunan, payung Allahyarham Azuan didapati terbuka, namun secara tiba-tiba ia kelihatan hilang kawalan menyebabkan beliau terlanggar cermin bangunan beberapa kali sebelum terjatuh lalu dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.10 petang.

Difahamkan insiden maut melibatkan aktiviti terjunan BASE di Putrajaya adalah pertama kali terjadi.

Sebelum ini, kejadian penerjun BASE maut pernah berlaku pada 2010 di Menara Alor Setar membabitkan penerjun wanita dari Australia selepas payung terjunnya tidak berfungsi ketika melakukan latihan.

Latihan terjunan BASE dilakukan di bangunan KPWKM kerana ia tersenarai sebagai bangunan tertinggi di Putrajaya dengan ketinggian 172 meter.

Terjun BASE adalah akronim bagi aktiviti sukan ekstrem kerana terjunan dilakukan berdasarkan empat kriteria itu Buildings (bangunan tinggi), Antenna (antena), Span (bridges-jambatan) dan Earth (permukaan bumi yang tinggi). - Bernama