Kerja naik taraf punca gangguan bekalan air

Antara kerja-kerja dilakukan bagi menaik taraf sistem bekalan air di Terengganu. - Foto ihsan SATU
Antara kerja-kerja dilakukan bagi menaik taraf sistem bekalan air di Terengganu. - Foto ihsan SATU
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gangguan bekalan air membabitkan 26,405 akaun pengguna di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang berpunca daripada kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan air yang giat dilakukan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Atemin Sulong berkata, langkah itu diambil susulan pertambahan penduduk yang kini dilihat tidak selari dengan pembangunan infrastruktur bekalan air.

Buat masa ini, katanya, sebanyak tiga buah loji sedang dibina iaitu di Bukit Berapit, Kuala Nerus; Loji Air Losong (tambahan) dan Loji Air Pulau Bahagia yang dijangka siap awal Februari dan April ini.

Menurutnya, selain pembinaan loji baharu, pihaknya kini turut menaik taraf beberapa loji rawatan air, muka sauk dan tangki air bagi memastikan bekalan air lebih berkualiti pada masa akan datang.

ATEMIN SULONG
ATEMIN SULONG

"Keupayaan maksimum loji sedia ada seperti Loji Losong 1, 2 dan 3; serta Loji Kepong I dan Kepong II telah mencapai tahap maksimum di mana sepatutnya telah berakhir pada tahun 2012.

"Loji-loji ini hanya mampu bekalkan air kepada 400,000 penduduk, namun kini terpaksa ditingkatkan sebanyak 25 peratus bagi memenuhi permintaan 500,000 penduduk.

"Bekalan air bertambah meruncing apabila air daripada loji ini juga disalurkan ke daerah Hulu Terengganu dan Setiu bagi mengatasi masalah air di daerah berkenaan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabat SATU di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Atemin berkata, masalah paip bocor disebabkan keadaan paip yang lama dan semakin uzur serta berkarat menyebabkan tekanan air rendah.

"Banyak aduan paip bocor diterima menyebabkan kita terpaksa menutup air bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan dalam kadar segera.

"Pertambahan bangunan berskala besar seperti kompleks perniagaan, hotel, kondominium, rumah pangsa dan lain-lain menyebabkan penggunaan air lebih tinggi, sekali gus menjejaskan bekalan air di perumahan lama di kawasan sekitar," katanya.

Kerja-kerja pembinaan loji air baharu dan menaik taraf loji rawatan serta tangki bekalan air giat dilakukan SATU di Terengganu. - FOTO: Ihsan SATU
Kerja-kerja pembinaan loji air baharu dan menaik taraf loji rawatan serta tangki bekalan air giat dilakukan SATU di Terengganu. - FOTO: Ihsan SATU

Sehubungan itu, beliau berkata, SATU telah mengambil beberapa langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah berkenaan; antaranya melakukan catuan bekalan air secara berkala antara jam 12 tengah malam dan 4 pagi, menghantar bekalan air melalui lori tangki dan meletakkan tangki statik di kawasan tumpuan ramai.

"Rumah-rumah yang tiada tangki simpanan air menjadi kumpulan utama yang terjejas terutama pada waktu puncak, manakala tindakan pengguna mengepam air terus dari paip utama menjejaskan bekalan air di rumah-rumah berdekatan," katanya.

Atemin turut memberi jaminan kerja-kerja bagi menaik taraf sistem bekalan air itu akan selesai sebelum Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.