Terpulanglah kalau Zahid nak kembali

Program Bicara Minda Sinar Harian bersama Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, di Dewan Karangkraf, di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Program Bicara Minda Sinar Harian bersama Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, di Dewan Karangkraf, di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi boleh mengambil semula tempatnya sebagai Presiden Umno pada bila-bila masa.

Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana Ahmad Zahid hanya bercuti daripada jawatan itu buat sementara.

“Itu hak beliau (ambil semula jawatan) sebab beliau (hanya) bercuti.

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid serah tugas kepada Tok Mat

"Kalau beliau dah letih bercuti dan nak balik (tempat presiden), terpulanglah. Saya cuma menjalankan tugas,” katanya kepada media selepas program Bicara Minda anjuran Sinar Harian, di sini.

Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid memberi kepercayaan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas sebagai Presiden Umno.

Dalam satu kenyataan, Ahmad Zahid berkata, ia selaras harapan ahli parti yang mahu pimpinan menterjemah hala tuju sesuai dengan slogan baharu ‘Umno bangkit'.

Mengulas mengenai kemunculan semula Ahmad Zahid di sebuah forum bersama pemimpin Pas di Bagan Datuk yang dikatakan tidak ‘direstui’ rakyat, Mohamad berkata, isu itu tidak perlu diperbesarkan.

Artikel Berkaitan:

“Tak ada isu kerana beliau mengadakan program di tempat sendiri. Sudah seharusnya Ahmad Zahid mengadakan gerak kerja di Parlimen dan bahagian beliau.

“Memang saya dah minta semua ketua bahagian, Ahli Parlimen dan ADUN supaya mulakan jentera sekarang. Semua orang kena bergerak, bukan tunggu dua bulan nak PRU baru gerak.

“Saya pun tak faham kenapa isu ini diperbesarkan,” katanya.

Berkenaan jawatan Ketua Pembangkang yang kosong selepas Ahmad Zahid bercuti, Mohamad berkata, beliau akan bermesyuarat dengan pemimpin BN dan parti pembangkang lain sebelum sesi Parlimen bermula, Mac ini.

“Setakat ini Ahmad Zahid bercuti dan beliau lepaskan tugasnya 100 peratus. Maknanya tugas sebagai Ketua Pembangkang, Pengerusi BN pun beliau lepaskan.

“Jawatan Ketua Pembangkang masih kosong. Saya akan panggil mesyuarat secepat mungkin atau jika tidak pun berjumpa setiap parti (untuk bincang),” katanya.