Bot karam: Lokasi SAR diperluas untuk cari mangsa

Anggota Maritim Malaysia melakukan SAR melalui udara di sekitar Pulau Perhentian.
Anggota Maritim Malaysia melakukan SAR melalui udara di sekitar Pulau Perhentian.
A
A
A

PASIR PUTEH - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa insiden bot karam, Asaari Leh, 43, diperluaskan sehingga ke 3,344.88 batu nautika persegi bermula Ahad.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, SAR tetap diteruskan walaupun cuaca tidak menentu dan keadaan ombak yang bergelora.

"Setakat ini kita telah menggerakkan aset laut dan udara untuk SAR yang diselaraskan oleh Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Malaysia (MRSC) berpangkalan di Kuantan, Pahang. Aset berkenaan merangkumi Kapal Maritim (KM) Tok Bali, Bot Kilat 28 dan udara.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu yakin anak masih hidup

Bot karam: SAR dalam radius lima batu nautika

[VIDEO] 15 jam bertarung nyawa berenang selamatkan diri

"Bantuan aset udara dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut digerakkan selain Maritim Malaysia. Bantuan daripada nelayan tempatan turut dipohon dan akan digerakkan sebaik sahaja cuaca serta keadaan laut menjadi tenang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan, di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Muhd Nur Syam Asmawie (kiri) menunjukkan SAR yang diperluaskan sehingga ke 3,344.88 batu nautika persegi bermula Ahad bagi mengesan kedudukan Asaari mangsa bot karam yang masih dikhuatiri hilang.
Muhd Nur Syam Asmawie (kiri) menunjukkan SAR yang diperluaskan sehingga ke 3,344.88 batu nautika persegi bermula Ahad bagi mengesan kedudukan Asaari mangsa bot karam yang masih dikhuatiri hilang.

Menurut Muhd Nur Syam Asmawie, selain itu SAR dilakukan di sekitar Tanjung Basi berdasarkan maklumat tekong bot terbabit yang memaklumkan mangsa berenang ke lokasi berkenaan.

Katanya, bagaimanapun pencariannya di lokasi pulau kecil dan daratan masih belum menemui sebarang tanda.

"Mangsa mempunyai kemahiran berenang dan hanya memakai jaket keselamatan serta seluar panjang berwarna hitam ketika insiden berlaku," katanya

Pada Jumaat lalu Sinar Harian melaporkan, empat nelayan terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam dalam kejadian di perairan Pulau Perhentian, Terengganu pada malam Khamis.

Kesemua mereka ditemui penduduk setempat di Pantai Coral View, Pulau Perhentian Besar pagi Jumaat selepas bertarung nyawa hampir 15 jam di lautan untuk menyelamatkan diri.

Empat mangsa yang selamat itu ialah tekong bot Azhar Tengku Long, 47, dan anaknya Tuan Azrizal, 19 serta dua lagi awak-awak iaitu Norizan Yusof, 45, dan Mohd Azri Mohd Rasdi, 28.