'Tiada sebab Asyraf Wajdi perlu mohon maaf'

Tangkap layar hantaran di Facebook Shahril Sufian Hamdan pada Sabtu.
Tangkap layar hantaran di Facebook Shahril Sufian Hamdan pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tidak perlu meminta maaf berhubung dakwaannya yang menyatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengambil alih ahlinya.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, ini kerana persoalan berkenaan isu tersebut merupakan sesuatu yang jelas dan mudah untuk dilihat dalam beberapa situasi yang melibatkan kepimpinan bahagian parti dan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Tidak ada sebab untuk Dr Asyraf mohon maaf. Kerana soal Bersatu mengambil ahli UMNO ini sudah jelas.

“Kalau lihat di Parlimen, berapa peratus Ahli Parlimen Bersatu yang datang daripada UMNO?

“Kalau lihat di peringkat bahagian, berapa ramai pimpinan bahagian yang datang daripada UMNO?” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Pada Sabtu, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menggesa Asyraf Wajdi yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri supaya tampil memohon maaf dan menarik tuduhan yang menyatakan Bersatu ‘mencuri’ serta ‘membeli’ ahli-ahli UMNO.

Menurutnya, tindakan Ketua Pemuda UMNO menyebut ‘setiap yang menyertai Bersatu dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000’ itu tidak dapat diterima sama sekali.

Katanya, beliau memandang berat tuduhan tersebut dan dengan tegas menafikan tuduhan liar tanpa bukti yang dilemparkan terhadap partinya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Shahril berkata, beliau yakin bahawa Asyraf sudah bersedia untuk mengemukakan bukti dalam dakwaannya berkenaan bayaran, habuan dan sebagainya jika perkara berkenaan dibawa ke mahkamah.

Pada masa sama, beliau berkata, UMNO akan terus memberikan penghargaan kepada akar umbi yang kekal setia bersama parti ketika waktu susah dan senang.

“Sebagai menzahirkan penghargaan tersebut, UMNO mesti terus memperkukuh kekuatan sendiri supaya tidak boleh diperkotak-katik oleh parti lain.

“Ada pihak yang akan sentiasa mahu melihat UMNO lemah dan dilemahkan. Kita tidak terkejut dengan senario itu tetapi sebaliknya terus mencari jalan memastikan parti ini menjadi pilihan utama rakyat Melayu dan Malaysia amnya,” katanya.

Katanya, UMNO tidak boleh menyalahkan pihak lain sekiranya mereka dipintas dalam usaha meraih sokongan masyarakat oleh kerana pergaduhan sesama sendiri yang seterusnya menyebabkan mereka gagal untuk memberikan tawaran yang menarik kepada rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN Bersatu didesak henti ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO