UMNO Alor Setar lulus usul desak MCA serah kerusi Parlimen

Guntor ketika membahaskan usul berkenaan pada mesyuarat perwakilan bahagian Alor Setar, pada Sabtu.
Guntor ketika membahaskan usul berkenaan pada mesyuarat perwakilan bahagian Alor Setar, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO Bahagian Alor Setar meluluskan usul mendesak MCA menyerahkan kerusi Parlimen Alor Setar kepada parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Usul berkenaan dikemukakan salah seorang perwakilan, Fazil Hashim dari cawangan Tanjung Bendahara pada mesyuarat perwakilan bahagian itu pada Sabtu.

Fazil turut mencadangkan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd Yusof Ismail sebagai calon untuk Parlimen berkenaan dan dipersetujui semua perwakilan.

“Jumlah pengundi mengikut kaum yang berdaftar adalah 80,530 orang, 64.37 peratus adalah Melayu, 30.88 peratus (Cina), India (4.24) dan lain-lain (0.52).

"Disebabkan itu kami mahu UMNO meletakkan calon di kerusi ini kerana peluang untuk menang lebih tinggi. Cukuplah dua peluang yang telah diberikan kepada MCA,” katanya ketika membentangkan hujah berkaitan.

Sementara itu, ketika membahaskan usul berkenaan, perwakilan dari cawangan Jalan Pegawai, Datuk Guntor Tobeng mahu UMNO dan MCA berunding mencari penyelesaian yang menguntungkan kedua pihak tanpa mengguris hati mana-mana parti.

“UMNO Alor Setar perlu berunding dengan MCA sebagai komponen BN atas semangat setiakawan memandangkan kedua-dua parti pernah bersama mengharungi perjuangan. Saya percaya UMNO dan MCA berbesar hati menyelesaikan isu ini dengan baik,” katanya.

Guntor turut mencadangkan timbal balas diadakan antara dua pihak, iaitu dengan menyerahkan kerusi Parlimen Alor Setar kepada UMNO manakala satu kerusi Senator diberikan kepada MCA Alor Setar.

“Selepas perundingan, kita bawa kepada Barisan Nasional (BN) pusat untuk membuat keputusan atas kebijaksanaan mereka. Yang penting, selepas keputusan dibuat, tiada pihak lagi membantah.

Artikel Berkaitan:

"Saya bukan hendak bodek MCA, kita harus lihat parti itu secara lebih adil. Walaupun ramai dakwa MCA tidak mampu bawa kemenangan dan parti itu sudah tiada pengaruh dalam kalangan masyarakat Cina, namun saya melihat semangat MCA untuk bekerjasama dengan UMNO lebih ikhlas dan tinggi berbanding kerjasama kita dengan parti lain menerusi Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional,” katanya.

Menurutnya, keikhlasan MCA telah teruji dan tidak luntur bersama UMNO, kerana parti itu tidak keluar dari BN walaupun parti lain satu demi satu meninggalkan gabungan itu.

Parlimen Alor Setar merupakan kerusi tradisi MCA namun parti itu mengalami kekalahan teruk pada PRU-13 dan PRU-14.

Guntor berkata, kedudukan UMNO sebagai parti dominan di negara ini terancam sekiranya PRU15 tidak diadakan segera.

“Kita tidak boleh selesa dengan keadaan sekarang kerana jika rakyat sudah biasa dalam situasi politik seperti ini UMNO akan jadi tidak relevan dan akan dilupakan.

"UMNO harus ada kebimbangan kerana jika kita ambil sikap tidak mengapa kerana yang memerintah Kedah sekarang adalah parti sahabat iaitu Pas, maka kita meletakkan UMNO dalam bahaya. Andai kata rakyat selesa dengan Pas, ia ibarat menggali kubur untuk UMNO,” katanya.

Menurutnya, parti terbesar Melayu itu perlu bangkit mengembalikan kedudukannya sebagai peneraju politik negara, bukannya ‘melukut di tepi gantang’ seperti sekarang.

“Rakyat kena pastikan pada PRU15 ini, kerajaan yang bakal dibentuk memiliki antara 65 hingga 75 peratus sokongan supaya kerajaan stabil dapat dibentuk.

Hanya kerajaan yang stabil dapat memastikan negara ditadbir dengan elok, tumpuan dapat diberikan kepada usaha mengatasi permasalahan rakyat dan kebajikan rakyat terjaga,” katanya.