Atasi kes pemerasan kongsi gelap

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemaju projek perumahan yang berhadapan dengan masalah di tapak pembinaan mereka diminta segera tampil membuat laporan polis.

Ini berikutan terdapat laporan menyatakan Johor menjadi antara lokasi panas dan sasaran kepada kumpulan kongsi gelap melakukan aktiviti memeras ugut atau meminta wang perlindungan di kawasan tapak projek perumahan di pinggir bandar.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, bagaimanapun tidak menafikan aktiviti tersebut, namun mengikut rekod hanya empat kes direkodkan sepanjang tahun lalu.

"Sebenarnya kes yang dilaporkan di Johor hanya empat kes sahaja pada tahun lalu dan Januari tahun ini pula setakat ini, tiada kes dilaporkan.

"Kita tidak boleh nafikan mungkin berlaku perkara ini, mungkin pihak pemaju mungkin tidak tampil membuat laporan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata demikian bagi mengulas laporan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa yang menyatakan bahawa kumpulan kongsi gelap kini menjadikan tapak projek perumahan di kawasan pinggir bandar sebagai sasaran untuk memeras ugut atau meminta wang perlindungan.

Rohaimi berkata, kawasan pinggir bandar di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Perak adalah antara lokasi panas yang menjadi sasaran kumpulan kongsi gelap berkenaan.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah tersebut, tetapi pihaknya amat memerlukan maklumat sebelum mengambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini, kita sudah membekalkan kawasan-kawasan tapak projek dengan talian hotline yang boleh dihubungi segera sekiranya berlaku insiden jenayah.

"Bukan sahaja tapak projek pembangunan, tetapi mana-mana pun seperti rumah kedai dan sebagainya, sila maklum kepada polis supaya kita boleh ambil tindakan apabila berlaku perkara seumpama ini," katanya.