Tiada lagi geng samun bertopeng aktif di Selangor

Datuk Fadzil Ahmat
Datuk Fadzil Ahmat
A
A
A

SUNGAI BULOH - Polis mengesahkan tiada lagi geng samun bertopeng yang aktif menjalankan kegiatan samun dan pecah rumah di sekitar Lembah Klang susulan empat penjenayah mati ditembak di Sungai Buloh minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, keempat-empat penjenayah tersebut merupakan saki baki geng samun bertopeng yang aktif melakukan jenayah samun dan pecah rumah.

"Sebelum kejadian, memang banyak kes samun di kawasan Lembah Klang dan dengan tertembaknya empat suspek, kes tersebut berjaya diselesaikan.

"Polis sebelum ini berjaya menahan enam suspek dan keempat-empat suspek yang mati ditembak ini merupakan saki baki daripada kumpulan berkenaan.

"Kita adakan juga pemantauan dan kita lihat tiada kes samun bertopeng lagi selepas keempat suspek berjaya ditembak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Terdahulu, empat penjenayah mati ditembak selepas dipercayai menyamun sebuah rumah di Taman Pelangi Rawang pada minggu lalu.

Polis telah mengekori kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki suspek, kenderaan itu telah melanggar dan menggilis seorang penghantar makanan.

Salah seorang suspek cuba menyerang anggota polis dengan parang ketika pihak polis hendak memberkas mereka.

Artikel Berkaitan:

Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke atas kereta dinaiki suspek demi mempertahankan diri anggota polis dan orang awam.