Mangsa banjir di Johor meningkat

Kelihatan beberapa ekor lembu ternakan penduduk Kampung Sepakat Baru, Johor Bahru, berkeliaran di kawasan yang lebih tinggi apabila kampung itu mula dinaiki air ketika tinjauan semalam. - Foto Bernama
Kelihatan beberapa ekor lembu ternakan penduduk Kampung Sepakat Baru, Johor Bahru, berkeliaran di kawasan yang lebih tinggi apabila kampung itu mula dinaiki air ketika tinjauan semalam. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat apabila seramai 4,899 mangsa daripada 1,298 keluarga dilapor telah dipindahkan ke 50 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri tersebut sehingga jam 8 pagi pada Ahad.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi ciapan di Twitternya pada Ahad memaklumkan, sebanyak enam daerah di Johor yang terkesan dalam bencana banjir kali ini iaitu Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulaijaya dan Pontian.

Daerah yang paling terkesan dalam kejadian kali ini ialah Johor Bahru dengan jumlah mangsa yang terlibat ialah sebanyak 3,355 diikuti Kluang (1,214) Kota Tinggi (845) Kulaijaya (574) Batu Pahat (tujuh) dan Pontian (enam).

Di Pahang pula, hanya sebuah PPS dibuka iaitu di daerah Maran dengan melibatkan 44 mangsa daripada 13 keluarga.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan negeri yang terlibat dalam bencana banjir kali ini ialah sebanyak dua negeri dengan tujuh daerah aktif yang melibatkan sebanyak 4,943 mangsa daripada 1307 keluarga.

Sementara itu, 12 amaran cuaca telah dikeluarkan di seluruh negara dengan enam amaran cuaca peringkat waspada Sungai Senggarang di Senggarang Batu Pahat, Johor, Sungai Serting di Serting Ulu Jempol (Negeri Sembilan) dan Sungai Belat Sri Damai Kuantan (Pahang).

Turut diberikan amaran cuaca peringkat waspada ialah Kolam Sungai Dondang Timur Laut (Pulau Pinang), Sungai Buloh di Sri Aman Kuala Selangor dan Sungai Langat di TNB Ponsoon Hulu Langat (Selangor)dan Lebaan Sibu (Sarawak).

Tiga kawasan yang diberikan amaran cuaca bahaya ialah Sungai Johor, Rantau Panjang Kota Tinggi, Sungai Lenik di Ladang Chaah Segamat, Sungai Ketil, Kuala Pegang Baling dan Sungai Pedas, Beaufort Sabah.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, NADMA turut memaklumkan penutupan jalan akibat banjir, jalan mendap, dan cerun runtuh di tujuh laluan yang melibatkan enam daerah di Johor, Pahang dan Terengganu.

Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Johor Bahru-Mersing dengan nombor laluan FT003 dan FT003 (Jalan Persekutuan), Jalan Masai Lama di Johor Bahru (J10(Jalan Negeri)) dan Lebuh raya Kuantan Segamat atau Lebuh raya Tun Razak di Pekan, Pahang (FT012(Jalan Persekutuan).

Turut ditutup ialah Jalan Aring 8-Kenyir-Jeneris di Hulu Terengganu (FT36(Jalan Persekutuan) Jalan Tranum-Gap di Raub Pahang (FT055(Jalan Persekutuan) dan Jalan Kampung Buluh, Kuala Por, Dusun, Kuala Pueh di Hulu Terengganu (T174 (Jalan Negeri).