Pendidikan asas kepada peradaban

DR MASZLEE. FOTO: ROSLI TALIB
DR MASZLEE. FOTO: ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Generasi muda hari ini mampu membina peradaban sekiranya peradaban pendidikan berjaya dibina.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu merupakan asas yang perlu ada dalam membentuk pendidikan yang sistematik dan seiring dengan perkembangan semasa.

"Pintu masuk peradaban adalah pengetahuan. (Jadi) dalam membina bangsa yang beradab adalah dengan membina bangsa yang berpendidikan.

"Jadi, asasnya adalah kita jangan pernah berhenti belajar. Sangat penting untuk kita untuk meneruskan (pembelajaran) dan dengan cara itu kita boleh menjadi insan yang berperikemanusiaan dan membawa kemanusiaan ke tahap yang terbaik," katanya pada Wacana Al-Quran Siri Ke-55 bertajuk Education: The Key of Civilisation di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.

Wacana Al-Quran yang diadakan di Kumpulan Karangkraf yang membincangkan tajuk Education: The Key To Civilisation, dari kiri, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Qari Malaysia, Ustaz Abdul Khair Jalil:FOTO: ROSLI TALIB
Wacana Al-Quran yang diadakan di Kumpulan Karangkraf yang membincangkan tajuk Education: The Key To Civilisation, dari kiri, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Qari Malaysia, Ustaz Abdul Khair Jalil:FOTO: ROSLI TALIB

Dalam wacana itu, Maszlee bergandingan bersama Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar sebagai panelis dan Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator serta qari jemputan, Ustaz Abdul Khair Jalil yang memperdengarkan bacaan Surah Al-Alaq: 1-5.

Mengulas lanjut, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, seiring dengan perubahan zaman secara tidak langsung turut mengubah cara pendidikan.

"Sekarang kita mempunyai banyak saluran media sosial yang membolehkan anak-anak kita dapat belajar pengetahuan segera.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai boleh memetik segalanya di mana-mana dan segalanya di mana sahaja. Mungkin pada zaman kita, kita berdepan kesukaran (untuk mendapatkan pengetahuan segera), tetapi sekarang ia boleh ditemui di media sosial," katanya lagi.

Menurutnya lagi, mempelajari ilmu pendidikan segera itu dikhuatiri gagal memenuhi asas dan keseimbangan yang sewajarnya.

Katanya, oleh itu adalah penting untuk integrasikan antara pengetahuan dan nilai.

"Jika kita mempelajari asas pendidikan, kita boleh pergi ke mana-mana (untuk berjaya). Bagaimana kita terjemahkan nilai, pengetahuan akan menyusul kemudiannya," katanya.

Tambah beliau, kunci kepada pengetahuan itu sendiri adalah mengenai kemanusiaan.

"Ia secara tidak langsung akan mendidik kita dengan sikap merendah diri dan nilai-nilai positif yang lain," katanya.