Budak lima tahun mati disyaki didera pengasuh

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh pengasuhnya di sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, maklumat kejadian itu diterima pihaknya selepas Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menerima panggilan pada jam 2.45 petang.

Menurutnya, pemeriksaan di sebuah unit kondominium itu menemui mangsa dalam keadaan terbaring lengkap berpakaian di atas katil.

“Mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

“Hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati ada kesan calar dan lebam pada beberapa bahagian badan dan kaki,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, pada Ahad.

Beliau berkata, susulan itu, pihak polis bertindak menahan pengasuh serta dua anak lelakinya.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 22 hingga 61 tahun itu akan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes berkenaan boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482026 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan: