Kekal Presiden PAFA sehingga kongres

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kekal dengan keputusan sebelum ini untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Menurutnya, bagaimanapun ketika ini jawatan itu masih lagi disandang sehingga Kongres Tahunan PAFA yang akan berlangsung pada bulan ini.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat memandangkan tugas yang digalas sebagai Presiden PAFA perlu diterajui oleh individu berpengaruh seperti menteri besar atau menteri Kabinet bagi menarik sokongan untuk mendapatkan dana membiayai pasukan.

"Jika saya meneruskan tanggungjawab sebagai Presiden PAFA juga pengerusi kepada Perak FC, ia tidak dapat memberi bantuan kepada kelab dan persatuan. Saya akui dengan permasalahan itu dan saya sentiasa berbincang dengan Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed dan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk kita cari jalan bagaimana mencari seorang yang lebih sesuai mengemudi persatuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Faizal boleh terus terajui PAFA

'Saya akan letak jawatan'

"Saya harap para penyokong jangan ingat saya berada di sini belum letak jawatan kerana kehendak saya, tetapi ini atas permintaan Menteri Besar Perak sendiri dan Exco Sukan yang meminta saya meneruskan tanggungjawab ini sekurang-kurangnya sehingga kongres tahunan PAFA pada bulan ini," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar sempena Makan Malam Bagi Meraikan Pegawai dan Pemain Kelab Bola Sepak Perak FC 2021 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu, Khairul Shahril, Pengurus Pasukan Perak FC, Datuk Adly Shah Ahmad Tah dan Setiausaha Kehormat PAFA, Mohamed Helmi Mohamed.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada beliau akan kekal sebagai presiden jika Kongres Tahunan PAFA nanti memutuskan untuk meneruskan khidmat beliau, Ahmad Faizal akan menimbangkan perkara tersebut.

Namun, beliau masih beranggapan terdapat lebih ramai individu yang layak menggantikan beliau menerajui PAFA dan membantu Perak FC.

"Jika itu satu perkara yang mendesak untuk saya teruskan, saya akan lakukan tetapi saya berpandangan, saya bukan sehebat mana. Saya rasa ada ramai orang lain yang mampu menggalas tanggungjawab ini dan saya melihat Khairul Shahril merupakan salah seorang pemimpin yang boleh diangkat sebagai Presiden PAFA," katanya lagi.

Dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian sebelum ini, Ahmad Faizal mengumumkan akan melepaskan jawatan sebagai Presiden PAFA selepas beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar Perak.