Norizam tak 'sembang kosong'

Norizam Tukiman
Norizam Tukiman
A
A
A

KELAB Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) menghargai pembaharuan yang dilaksanakan pemilik Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) Norizam Tukiman sehingga berjaya membolehkan Kelantan FC menyelesaikan hutang lapuk dalam jangka masa singkat selepas mengambil alih kelab itu September lepas.

Presidennya Kelate.Net Mohd Nurul Mohd Yusoh berkata, beliau menganggap tindakan pemilik Kelantan FC itu melunaskan tunggakan hutang yang ditanggung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebagai sesuatu yang luar biasa.

"Tempoh empat bulan satu jangka masa yang pendek bagi membayar hutang yang berjumlah jutaan ringgit, ini membuktikan ahli perniagaan itu tidak ‘sembang kosong’. Tindakan yang dilakukan itu cukup menggembirakan penyokong bola sepak Kelantan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Kelantan FC akhirnya akan melangkah ke musim baharu Liga Malaysia (Liga-M) dengan tenang dan bersemangat apabila bebas daripada larangan membeli pemain.

Berita gembira itu diterima Kelantan FC menerusi sepucuk surat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas Kelantan berjaya melunaskan semua hutang lapuk.

Mohd Nurul berkata, sebagai sebahagian daripada tulang belakang pasukan, kelab penyokong itu berterima kasih kepada Norizam kerana telah menunaikan janji.

"Kami akui tidak mudah untuk menyelesaikan jumlah hutang yang tinggi namun kami melihat Norizam berusaha sebaik mungkin bagi membina semula pasukan Kelantan," katanya.

Beliau berkata Kelate.Net meminta penyokong dan peminat Kelantan memberi sokongan padu kepada pasukan bola sepak itu khususnya Norizam kerana walaupun beliau anak kelahiran Johor tetapi berani berkorban untuk mengambil alih Kelantan FC.

Artikel Berkaitan:

"Sokongan itu merupakan satu penghormatan kepada Norizam yang telah berkorban demi menyelamatkan Kelantan daripada hutang lapuk.

"Kami (penyokong) lakukan teguran bersifat positif untuk melihat Kelantan FC lebih berdaya saing dan maju pada masa depan tidak hanya untuk melakukan kritikan secara membabi buta," katanya. - Bernama