Sanggup berhenti kerja jaga ibu terlantar

Sahabudin (kanan) mengusap kepala ibunya yang terlantar sejak November lalu.
Sahabudin (kanan) mengusap kepala ibunya yang terlantar sejak November lalu.
A
A
A

TANAH MERAH - Walaupun tinggal dalam keadaan daif di kawasan pedalaman, namun ia tidak menghalang seorang lelaki menjaga ibunya yang terlantar sakit di Kampung Tendap, Bukit Panau di sini.

Rumah yang didiami mereka sejak lima tahun itu juga tidak mempunyai bekalan air dan elektrik, hanya bergantung dengan bantuan generator atau tenaga solar pada waktu malam.

Sahabudin Abd Latif, 48, sebelum ini bekerja kampung bagi menyara kehidupan dia dan ibunya, Ramlah Ibrahim, 70.

Bagaimanapun, sejak Ramlah tidak dapat berjalan dan bangun pada November lalu, dia terpaksa menumpukan sepenuh perhatian kepada ibunya itu walaupun terpaksa mengikat perut.

“Saya tinggal di sini sebab nak sewa rumah di luar memang tidak mampu. Sekarang ini pun bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang ibu saya dapat.

“Sebelum ini ibu hanya sakit lutut, dia berjalan perlahan, tapi selepas itu mengesot sebab tidak boleh berdiri dan kini tidak boleh bangun langsung yang mungkin disebabkan oleh saraf.

“Sebab itu saya terpaksa berhenti kerja untuk tengok ibu di rumah, tambahan pula dengan keadaan Covid-19 sekarang ini memberi risiko kepada saya dan ibu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini.

Artikel Berkaitan:

Sahabudin menerima kunjungan daripada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jajahan Tanah Merah yang diketuai Mohd Khairul Azhar Mat Jurit (kiri).
Sahabudin menerima kunjungan daripada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jajahan Tanah Merah yang diketuai Mohd Khairul Azhar Mat Jurit (kiri).

Sahabudin berkata, ibunya tidak mendapat rawatan daripada hospital memandangkan dia tidak mampu untuk membawa ibunya itu sendirian.

Sebaliknya, katanya, dia bergantung kepada ubat tahan sakit yang dibeli dari klinik dan farmasi.

Malah, katanya, keadaan rumahnya yang agak terpencil di kawasan tersebut dan jalan untuk sampai ke rumahnya tidak berturap sejauh tiga kilometer juga menyukarkan lagi keadaan.

“Saya risau sebab saya tidak tahu apa penyakit yang dihadapi ibu. Semakin hari semakin lemah, sentuh badan pun sakit. Saya buntu dan berharap masalah kesakitan ibu ini diketahui puncanya,” katanya.

Terdahulu, Sahabudin menerima kunjungan daripada kakitangan JKM jajahan Tanah Merah yang diketuai Mohd Khairul Azhar Mat Jurit.

Ramlah sebelum ini menerima Bantuan Orang Tua (BOT) daripada JKM sebanyak RM500 sebulan sejak September lalu, selain berada di bawah pemantauan Sukarelawan Khidmat Bantu Di Rumah (Homehelp Service) JKM.

Bagi mereka yang mahu membantu boleh menghulurkan sumbangan kepada akaun 2001671000436603 (Agro Bank) atas nama Ramlah Ibrahim.