PRNNK semarak tadabbur al-Quran dalam talian

Tetamu yang hadir pada perasmian Pejabat PRNNK di Kubang Golok, Bachok pada Sabtu.
Tetamu yang hadir pada perasmian Pejabat PRNNK di Kubang Golok, Bachok pada Sabtu.
A
A
A

BACHOK - Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) mengambil inisiatif menyemarakkan tadabbur al-Quran secara langsung dalam talian setiap hari sejak Jun lalu.

Pengerusinya, Datuk Adnan Hashim berkata, tadabbur selama sejam bermula 8.30 pagi setiap hari berlangsung menerusi laman Facebook persatuan berkenaan sebagai inisiatif ketika penularan pandemik Covid-19.

“PRNNK meneruskan usaha membudayakan pengajian al-Quran secara dalam talian bagi menggelakkan berlaku penularan Covid-19 sekiranya kaedah bersemuka dilakukan seperti sebelum ini.

“Jadi, tadabbur dalam talian adalah jalan terbaik dan mendapat sambutan yang menggalakkan pelayar-pelayar yang bersama-sama menonton siaran langsung itu,” katanya kepada pemberita di Kubang Golok di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Pusat Islam Universiti Malaysia Kelantan (UMK) selaku Penasihat PRNNK, Profesor Madya Dr Azhar Muhammad yang merasmikan Pejabat PRNKK di tanah seluas 1.2 hektar.

 Pengarah Pusat Islam Universiti Malaysia Kelantan (UMK) selaku Penasihat PRNNK, Profesor Madya Dr Azhar Muhammad (tengah) memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian Pejabat PRNNK di Kubang Golok, Bachok pada Sabtu.
Pengarah Pusat Islam Universiti Malaysia Kelantan (UMK) selaku Penasihat PRNNK, Profesor Madya Dr Azhar Muhammad (tengah) memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian Pejabat PRNNK di Kubang Golok, Bachok pada Sabtu.

Tanah berkenaan diinfakkan oleh dua individu persendirian bagi membantu mencapai visi baca, faham dan amal al-Quran.

Sementara itu, Adnan berkata, PRNNK menyasarkan penyumbang dana sebanyak RM3,000 setahun bagi kos penyediaan pusat akses internet kepada golongan remaja.

Artikel Berkaitan:

“Pejabat PRNNK menyasarkan golongan remaja supaya mereka lebih dekat dengan al-Quran. Kita amat mengalu-alukan mereka untuk datang ke pejabat PRNNK pada bila-bila masa sahaja bagi menggunakan kemudahan internet apabila pusat akses berjaya diwujudkan.

“Selain itu turut diadakan kelas bahasa Arab, hafazan, asas al-Quran dan aktiviti memanah dalam tempoh yang dimaklumkan nanti ketika keadaan negara selamat daripada Covid-19,” katanya.

Tambah beliau, sejak penubuhan PRNNK lima tahun lalu, ia sudah mengumpul lebih 2,000 ahli dan berhasrat mengaktifkan semua Rumah Ngaji yang ada di Kelantan.

“Terdapat 186 keseluruhan jumlah Rumah Ngaji di Kelantan, namun hanya 88 aktif, sementara selebihnya perlu suntikan semula bagi menghidupkan kembali budaya pengajian al-Quran di Rumah Ngaji masing-masing,” katanya.