Usaha sekat Covid-19

A
A
A

KETIKA pandemik Covid-19 masih menular begitu serius di negara kita, sebuah asrama yang memuatkan ratusan pekerja asing kilang sarung tangan getah di Jalan Cheras, Kajang, Selangor pula didakwa berada dalam keadaan sesak dan daif.

Kes itu terbongkar setelah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menyertai pemeriksaan bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) ke atas asrama tersebut.

Syarikat berkenaan menyediakan dua kontena yang dijadikan tempat tinggal untuk pekerja asing itu sepatutnya hanya memuatkan maksimum 100 orang tetapi akibat tiada rasa prihatin oleh majikan, sejumlah 400 hingga 700 pekerja dibiarkan tinggal dalam ruang yang amat sempit itu.

Menurut Lidah Pengarang Sin Chew Daily, keadaan asrama pekerja yang sesak itu dipercayai bukan berlaku di kilang sarung tangan berkenaan sahaja, malahan keadaan sama turut terjadi di kebanyakan asrama pekerja asing di negara kita.

“Maka tidak hairanlah terdapat begitu ramai pekerja asing dijangkiti Covid-19 akibat tinggal dalam asrama pekerja yang sesak sehingga mudah terdedah kepada pandemik berkenaan,” tulis akhbar itu.

Mengulas lebih lanjut, Sin Chew Daily mempertikaikan tindakan sesetengah syarikat korporat yang tidak mengambil berat terhadap pekerja asing mereka lebih-lebih lagi ketika penularan Covid-19 merebak dengan meluas.

Memang tidak dinafikan, keadaan asrama berkenaan bagaikan perhambaan moden kerana keadaan tempat tinggal pekerja itu amat kotor dan tidak selamat.

“Disebabkan penularan Covid-19, pihak berkuasa telah mengerahkan tenaga kerjanya untuk memeriksa asrama-asrama yang dihuni pekerja asing ini.

Artikel Berkaitan:

Akhirnya kita didedahkan perkara ini yang tidak sepatutnya berlaku di negara kita.

“Pihak majikan lebih-lebih lagi syarikat korporat yang besar perlu menjalankan tanggungjawab mereka untuk mencegah penularan Covid-19.

“Mereka sepatutnya lebih prihatin terhadap kebajikan pekerja dan tidak boleh membiarkan pekerjanya tinggal dalam asrama yang serba kekurangan. Keuntungan perniagaan yang diraih mereka sepatutnya digunakan untuk tujuan khidmat sosial,” kata akhbar itu lagi.

Mengulas lebih lanjut, mana-mana syarikat tempatan yang didapati menganiaya pekerja asingnya pastinya mencemarkan nama baik negara kita.

“Banyak syarikat terkenal di dunia sentiasa membela kebajikan pekerjanya tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Malangnya, melihat di dalam negara kita sendiri, masih terdapat segelintir syarikat-syarikat besar ini sengaja menghakis hak yang sepatutnya dinikmati oleh seseorang pekerjanya.

“Majikan dan pegawai-pegawai kanan syarikat ini tentunya menyedari akan bahayanya jangkitan Covid-19 ini. Tetapi kenapa mereka masih enggan bekerjasama untuk berganding bahu dengan kerajaan serta rakyat dalam usaha mencegah Covid-19?” soal akhbar itu.

Demi mengelakkan keadaan itu berulang, akhbar itu mencadangkan semua pihak memainkan peranan agar pekerja asing apabila menghuni asrama atau tempat tinggal perlulah dalam keadaan selamat dan selesa.

"Kerajaan mesti mengambil tindakan lebih tegas dan mengenakan hukuman lebih berat kepada majikan-majikan terbabit sekiranya tidak mengutamakan kebajikan pekerja asing pada masa depan,” tulis akhbar itu.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian