X

Kindly register in order to view this article
!

Bahaya bebani bank berlebihan

A
A

KITA baru masuk hari ketiga tahun baru Masihi 2021 yang diharapkan lebih baik dari tahun 2020.

Tidak syak lagi tahun 2020 adalah seperti diungkapkan dalam bahasa Latin ‘annus horribilis’ iaitu tahun yang dahsyat.

Maka tentulah banyak daripada kita yang berdoa dan berharap tahun 2021 akan menjadi ‘annus mirabilis’ iaitu tahun yang menakjubkan.

Kita semua sudah tahu bahawa pandemik Covid-19 masih menular di seluruh dunia dan telah berlaku mutasi atau perubahan bentuk ke atas virus itu.

Kita juga sudah membaca berita yang mengatakan semakin banyak negara maju mula memberi suntikan vaksin pencegah Covid-19 kepada orang ramai setelah yakin dengan hasil ujian klinikal ke atasnya.

Malaysia pun ada rancangan untuk menyuntik sehingga 80 peratus daripada 32 juta penduduk mulai Februari ini. Jadi daripada aspek penyebab utama kepada krisis ekonomi, iaitu penularan Covid-19 nampaknya kita sudah menemui penyelesaian, insya-ALLAH.

Tugas kita seterusnya adalah memesatkan pemulihan ekonomi. Dalam konteks ini, pengurusan hutang kerajaan, korporat dan individu adalah antara isu teras.Di sebalik kejayaan ekonomi kita, terdapat masalah besar iaitu kadar hutang yang tinggi dan meluas.

Rakyat Malaysia adalah antara yang paling banyak berhutang di dunia. Menurut Bank Negara, hutang isi rumah pada akhir tahun 2019 bersamaan dengan 82.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK/GDP). Dalam bahasa yang mudah, rakyat Malaysia hidup dengan berhutang.

Kita sudah tahu bahawa kedudukan hutang kerajaan Pusat, termasuk jaminan adalah jauh lebih besar daripada yang pernah diakui Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Selepas dikira semula oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) maka diakui yang jumlahnya adalah RM1.2569 trilion (pada akhir September lalu) atau bersamaan 87.3 peratus KDNK.

Tambah memburukkan keadaan dan membebankan rakyat jelata serta pembayar cukai adalah hutang hangus akibat skandal-skandal kewangan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Turut menambah hutang kerajaan adalah pinjaman RM25.29 bilion yang diambil daripada KWSP untuk syarikat milik Kementerian Kewangan, Pembinaan PFI Sdn Bhd.

Perlu difahami bahawa rancangan yang nampak baik dipermukaannya seperti moratorium enam bulan pembayaran balik hutang bank dan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mempunyai aspek negatif.

Oleh sebab itu saya mengkritik dan mengutuk ahli-ahli politik yang mencari publisiti murah dengan mengecam bank dan KWSP kerana seolah-olah keberatan untuk melaksanakan rancangan berkenaan.

Saya faham dan akui bahawa apabila Covid-19 melanda dan ekonomi menjunam, golongan paling tertekan adalah mereka yang banyak hutang dan hilang mata pencarian.

Tapi kepentingan bank dan Tabung Pelaburan Berkaitan Kerajaan seperti KWSP tidak boleh diketepikan. Jumlah yang terlibat bukannya sedikit.

Misalnya, moratorium pembayaran balik hutang melibatkan RM66.6 bilion hingga 31 Julai lalu dan KWSP memperuntukkan RM70 bilion untuk pengeluaran i-Sinar.

Hatta jika bank-bank boleh menanggung kerugian akibat moratorium sekali pun, kebajikan pelabur yang memegang saham mereka wajib difikirkan juga.

Harga saham bank telah jatuh merudum sejak moratorium diumumkan 1 April lalu.

Dalam tampalan Facebook, saya telah ingatkan para pencari publisiti murahan bahawa bank adalah antara syarikat paling besar dan untung di Bursa Malaysia dan GLIC adalah antara pelabur terbesar mereka.

Akhir kalam, perlu diingatkan bahawa pencari publisiti murah itu terlibat secara langsung dalam skandal kewangan yang menyebabkan negara dan rakyat menanggung berpuluh bilion hutang hangus. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!