Perkasakan Jakim

A
A
A

SAYA masih ingat awal tahun 2020 saya menulis berkenaan keabsahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menurut Perlembagaan kerana ketika itu ramai yang mempersoalkan ini.

Kini pada awal tahun 2021, isu mengenai Jakim masih timbul lagi kali ini mengenai dakwaan kelengahan Jakim mengambil cakna dalam beberapa isu yang ditimbulkan.

Antara isu yang dimainkan adalah peruntukan lebih RM1.4 bilion kepada Jakim dalam Bajet 2021, kartel daging haram, suntikan vaksin, sijil halal dan banyak lagi. Saya tidak berhasrat memperincikan isu ini satu persatu dalam ruangan ini tetapi menjawab secara umum sahaja.

Penubuhan Jakim bermula dengan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam (MKI) (1968) oleh Majlis Raja-raja dan menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis) (1974) di Jabatan Perdana Menteri sebelum dinaik taraf menjadi Jakim pada 1 Januari 1997 menjadi platform dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam.

Sebagai sebuah agensi utama pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan serta urus setia kepada MKI, maka Jakim melaksanakan tiga fungsi utama berikut:

Fungsi 1: Penggubalan dan Penyeragaman Undang-Undang Syarak

Fungsi 2: Penyelarasan Pentadbiran Islam

Fungsi 3: Penyelarasan dan Pembangunan Pendidikan Islam

Artikel Berkaitan:

Jakim, Jabatan Perdana Menteri akan berperanan sebagai agensi pusat dalam perancangan pengurusan hal ehwal Islam dan pembangunan ummah dengan fungsi-fungsi seperti berikut:

1.Bertanggungjawab seperti perancang yang menentukan pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam di negara ini;

2.Merangka dasar bagi pembangunan hal ehwal Islam di negara ini dan menjaga kesucian akidah dan ajaran Islam

3.Membantu menggubal dan menyeragam undang-undang dan peraturan yang diperlukan serta menilai dan menyelaras pelaksanaan undang-undang dan pentadbiran yang sedia ada dari masa ke masa dalam usaha menyelesaikan masalah-masalah umat Islam;

4.Melaksanakan program pembangunan ummah dan penghayatan Islam dalam pengurusan negara;

5.Menyelaras mekanisma penguatkuasaan undang-undang serta peraturan-peraturan pentadbiran hal ehwal Islam di seluruh negara;

6.Membuat penilaian program hal ehwal Islam yang dilaksanakan di negara ini;

7.Bertindak sebagai pengumpul, penyebar dan pusat rujukan maklumat mengenai hal ehwal Islam; dan

8.Melaksanakan usaha-usaha pembangunan ummah melalui kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.

Berbeza dengan jabatan lain seperti Jabatan Agama Islam dan agensi kerajaan lain, Jakim tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasa mana-mana perundangan termasuklah hal ehwal Islam kerana ia dimiliki Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

Oleh yang demikian menuding jari kepada Jakim sepenuhnya dalam isu-isu perundangan Islam adalah tidak tepat. Agensi-agensi yang tidak berjenama agama seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa serta banyak agensi lain juga berperanan dalam isu mengenai agama Islam ini.

Tidaklah bermakna jika sesuatu agensi itu tidak berjenama agama mereka tidak bertanggungjawab dalam hal ehwai mengenai agama Islam.

Jika kita merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong ketika menaiki takhta baginda bersumpah dengan menggunakan nama-nama ALLAH antara lainnya memelihara agama Islam pada setiap masa sebagaimana dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu setiap agensi kerajaan Persekutuan sama ada berjenama Islam ataupun tidak mempunyai tanggungjawab berperlembagaan untuk melaksanakan sumpah Agong tersebut.

Tidak molek kita hanya mencari salah Jakim sahaja tanpa memberi ruang kepada mereka melaksanakan tugas mereka.

Jakim dan agensi lain perlu bersama-sama mencari jalan untuk memelihara agama Islam pada setiap masa. Kita seharusnya mencari solusi bukan menuding jari mencari kesalahan.

Pelbagai tohmahan terhadap Jakim perlu dijelaskan dengan baik seperti peruntukan besar kepada Jakim yang dikatakan sebagai pembaziran. Namun sebenarnya peruntukan tersebut termasuklah membayar gaji dan emolumen imam, pegawai masjid dan guru-guru agama seluruh negara.

Mungkin sudah sampai masalah penstrukturan semula Jakim dibuat dengan meletakkan Jakim terus di bawah Majlis Raja-Raja bagi memberi kesan kepada tindakan yang lebih efektif sebagai pemantau pelaksana dalam isu berkaitan agama Islam di samping memberi taring yang tajam bagi melaksanakan mana-mana perundangan Islam.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia