RCI 1MDB

A
A
A

DALAM tempoh lima tahun (2015-2020) di bawah kepimpinan tiga Perdana Menteri, skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) belum nampak jalan penyelesaian yang memuaskan hati sesiapa pun.

Terbaharu, keluarga mantan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dikaitkan dengan dana terbabit. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan sebahagian akuan bersumpah yang menunjukkan sebuah syarikat berkait dengan suami dan anak Zeti dikatakan menerima dana 1MDB.

Keluarga Zeti dikatakan telah mengadakan persetujuan dengan pihak berkuasa Singapura untuk membayar semula wang 1MDB yang syarikat tersebut terima. Bagaimanapun, kenyataan media Zeti menafikan pembabitan keluarga beliau dan enggan mengulas lanjut kerana khuatir menjejaskan perbicaraan Najib.

Sudah tentu penafian Zeti ini tidak bernilai apa-apa berbanding pendedahan akuan bersumpah penyelesaian yang didedahkan oleh Najib.Tuding-menuding dalam isu 1MDB ini seolah-olah tiada kesudahan. Sebelum ini, Najib juga mendakwa tiada pengetahuan bahawa wang yang masuk ke dalam akaun CSR beliau bersumberkan 1MDB.

Di Singapura dan Amerika Syarikat, pelbagai pihak dikenakan pertuduhan jenayah dan sivil membabitkan penggubahan wang haram dan korupsi berkait 1MDB. Selain individu seperti Jho Low, institusi pelaburan terkemuka Goldman Sachs turut menerima saman dan membayar denda berbilion ringgit.

Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), dua pegawai kanan International Petroleum Investment Corporation (IPIC), Khadem Al Qubaisi dan Mohamed AL-Husainy, dipenjara kerana menerima rasuah membabitkan penyelewengan dana 1MDB.

Dua orang pengarah utama IPIC iaitu Khadem Al Qubaisi, (Pengarah Urusan) dan Mohamed Al-Husainy, Ketua Pegawai Eksekutif Aabar Pjs (sebuah lagi anak syarikat IPIC).

Di Malaysia, hanya Najib yang menjadi sasaran pendakwaan kerajaan membabitkan jumlah RM2.6 bilion yang belum ditentukan secara tuntas merupakan wang 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Apa yang mengecewakan banyak pihak ialah pertukaran kerajaan daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan (PH) juga tidak berjaya menyelesaikan misteri dan pertuduhan yang dibuat.

Kebanyakan rakyat masih melihat pendakwaan dan pertuduhan yang dibuat ke atas Najib adalah satu pendakwaan bersifat politik.

Setelah lebih dua tahun Najib dijatuhkan dan negara mendapat dua orang Perdana Menteri baharu, 1MDB masih merupakan satu misteri.Rasanya jalan yang paling wajar menyelesaikan misteri terbesar negara ini adalah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai 1MDB.

Berpuluh bilion transaksi dan pelaburan harus disiasat keberadaannya dan dibentangkan kepada umum supaya masyarakat dan kerajaan mendapat gambaran sebenar.

Sejak Mei 2018, Najib sendiri mendakwa beliau dianiaya dan menuntut penubuhan RCI. PH dan Perdana Menteri hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga pernah berjanji untuk menubuhkan RCI mengenai 1MDB ini.

Kini kita dapati bekas Gabenor Bank Negara juga terpalit dengan tuduhan dan dakwaan ini. Sampai bila kerajaan hanya mahu isu ini berlegar dalam koridor sensasi, saling tuduh-menuduh, fitnah dan alat menyebar kebencian.

Secara kasarnya tidak ada sebab untuk kerajaan menangguhkan RCI 1MDB kecuali ada pihak tertentu dalam kerajaan mahu meraih ‘keuntungan politik’ secara berterusan tanpa mengambil kira kepentingan negara.

Isu 1MDB seharusnya lebih penting daripada mengadakan pilihan raya sewaktu Covid-19 ini. Kita mahukan penjelasan yang tuntas dan tidak lagi bersifat cuba menutup bangkai gajah dengan nyiru.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)