Cuepacs tolak pandangan kecilkan saiz perkhidmatan awam

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak pandangan bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Dr Fauziah Mohd Taib yang mahu saiz perkhidmatan awam dikecilkan.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, memasuki minggu pertama tahun 2021, sektor perkhidmatan awam telah diusik dengan satu kenyataan terbuka dalam media yang mungkin boleh mengundang persepsi tidak baik kepada penjawat awam Malaysia.

Lebih mengecewakan, katanya, kenyataan bertajuk Is It Time To Trim Te Civil Service datangnya daripada bekas pegawai tertinggi kerajaan yang mempunyai banyak pengalaman dalam perkhidmatan awam.

“Walaupun tidak menyatakan dengan jelas saiz perkhidmatan awam di Malaysia perlu dikecilkan, namun hujah yang dikemukakan beliau seolah-olah mahu membawa pembacanya percaya dan yakin bilangan penjawat awam pada hari ini berlebihan dan boleh dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Adnan berkata, pihaknya mahu menegaskan sekali lagi bahawa saiz perkhidmatan awam Malaysia dengan jumlah warganya kira-kira 1.6 juta orang adalah masih ideal dan tidak terlalu besar.

Bahkan, katanya, jumlah berkenaan turut membabitkan sektor pendidikan, pasukan keselamatan dan tenaga kerja kesihatan yang lazimnya tidak diambil kira sebagai kakitangan awam di negara lain.

“Jika kita lihat jumlah penjawat awam di sektor ini masih lagi tidak mencukupi dan ia perlu ditambah selaras dengan cabaran semasa yang dihadapi negara pada masa akan datang.

“Jika ditolak dengan ketiga-tiga sektor ini, maka penjawat awam di Malaysia hanya membabitkan lebih 600,000 kakitangan sahaja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, pandangan Fauziah yang menyatakan perkhidmatan awam masih lagi mampu beroperasi walaupun pada kapasiti 30 peratus adalah tidak tepat.

Jelas Adnan, perkhidmatan awam sebenarnya masih lagi beroperasi 100 peratus sama ada di lapangan, di pejabat ataupun bekerja dari rumah.

“Jumlah 30 peratus ini hanyalah mewakili kakitangan yang perlu bertugas di pejabat sahaja dan ia melibatkan beberapa negeri sahaja sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada Oktober lalu.

“Justeru, pandangan beliau yang menyatakan saiz perkhidmatan awam berlebihan kerana masih lagi boleh beroperasi pada tahap kakitangan hanya 30 peratus adalah tidak benar dan boleh mengelirukan orang ramai.

“Walaupun 30 peratus sahaja petugas dibenarkan bekerja di pejabat, tidak semuanya juga bekerja dari rumah kerana masih ada petugas yang perlu turun ke lapangan dan menjalankan tugas mereka seperti biasa,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, petugas yang bekerja dari rumah juga bukanlah bercuti tetapi tetap menjalankan tugas dengan menggunakan teknologi sistem atas talian.

“Mereka ini juga tidak sepenuhnya bertugas dari rumah kerana ada penggiliran dilakukan bagi memastikan operasi berjalan dengan lancar. Kelancaran dan kecekapan dalam sistem perkhidmatan awam hari ini telah menjadikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas serta boleh diterima oleh rakyat.

“Maka, tidak timbul isu lebihan dalam saiz perkhidmatan awam,” katanya.