Semua institusi pendidikan dibuka berdasarkan takwim 2021

Kenyataan media KPM
Kenyataan media KPM
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan semua institusi pendidikan akan dibuka berdasarkan takwim penggal persekolahan dan institusi pendidikan bagi tahun 2021.

KPM dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, antara institusi pendidikan yang terlibat ialah institusi di bawah KPM dan institusi pendidikan swasta (IPS) yang berdaftar termasuk sekolah antarabangsa.

"Pembukaan ini melibatkan institusi pendidikan di seluruh negara termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan sesi persekolahan akan bermula mengikut takwim 2021.

Keputusan itu dibuat kerana ramai ibu bapa bimbang anak-anak mereka tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan yang sempurna.

Dalam pada itu, KPM menegaskan bahawa pengoperasian kesemua institusi pendidikan tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu dan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi Dalam Norma Baharu.

“KPM akan sentiasa memantau keadaan semasa pengoperasian institusi pendidikan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan warga institusi pendidikan terus diutamakan,” katanya.

Sehubungan itu, takwim pembukaan sekolah boleh dirujuk di laman sesawang KPM di www.moe.gov.my/takwim manakala takwim bagi IPS pula adalah berdasarkan tarikh penggal persekolahan institusi masing-masing.

Artikel Berkaitan: