Pas tolak usaha bentuk pakatan politik baharu

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menolak sebarang usaha untuk membentuk pakatan baharu politik yang dicadangkan oleh pihak tertentu.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti itu mahu mengukuhkan kerjasama politik bersama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Dengan tegas dinyatakan bahawa apabila kita baru sahaja menubuhkan MN dan PN, maka laksana penanaman benih yang baru tumbuh dengan subur,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, aspek perpaduan umat Islam di Malaysia dapat dilihat melalui penubuhan MN yang diasaskan oleh Pas dan UMNO terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tambah beliau, kerjasama dalam PN pula telah menggabungkan semua parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak membentuk kerajaan yang ada pada ketika ini.

“Ini berasaskan piagam yang sudah dimeterai sebelum diperkemaskan secara berperingkat malah berkonsepkan Islam Agama Rasmi Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, gabungan yang dibentuk itu tidak sepatutnya digunakan oleh pihak yang mahu menyelamatkan diri dan kedudukan.

"Acuan perpaduan inilah yang boleh menegakkan umat yang selamat di dunia dan akhirat.

Artikel Berkaitan:

"Maka adalah haram kita memilih acuan akal manusia yang sempit sekadar menyelamatkan diri dan kedudukan masing-masing, bukannya berwadahkan umat yang besar dan wawasan yang jauh daripada dunia sehingga akhirat," katanya.

Jelasnya, perpaduan merupakan satu fardu kifayah kewajipan secara umum dan menjadi fardu ain kepada pemimpin yang bertanggungjawab.

“Justeru iltizam kami ialah memperkukuh perpaduan dan persaudaraan sesama kita serta memperkasakan MN dan PN yang kita bina bersama,” katanya.