Ingkar PKP: 1,388 ditahan pada hari pertama 2021

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari pertama 2021 semalam menyaksikan jumlah tangkapan tertinggi bagi kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu 1,388 individu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 1,352 individu dikenakan kompaun manakala 32 individu direman dan empat individu dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah aktiviti pusat hiburan (623), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (424), tidak memakai pelitup muka (137), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (118) dan lain-lain kesalahan (86),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata, tangkapan tersebut merupakan hasil pasukan petugas operasi pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia yang menjalankan 48,316 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP di seluruh negara semalam.

Bagi Op Benteng, seramai 95 lagi pendatang tanpa izin berjaya ditahan manakala 105 sekatan jalan raya dijalankan semalam.

Beliau berkata, kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

Sementara itu, sehingga semalam seramai 93,312 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dengan 7,547 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ketika memperincikan mengenai barangan keperluan asas, Ismail Sabri berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam telah melakukan 604 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (445), pemborong (128) dan pengilang (31).

Artikel Berkaitan:

“Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya ketika menjalankan aktiviti jual beli barangan keperluan harian. - Bernama