Armada tuntut Asyraf Wajdi mohon maaf

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuntut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memohon maaf atas tuduhan kononnya Bersatu mencuri dan membeli orang UMNO untuk menyertai parti itu.

Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, beliau mewakili suara Bersatu menerusi sayap Armada mendesak Asyraf Wajdi memohon maaf demi kestabilan agenda pemerkasaan negara bangsa di bawah Perikatan Nasional (PN).

"Siapa Dr Asyraf Wajdi yang nak menuduh dan memfitnah Bersatu mencuri dan membeli orang-orang UMNO bagi menyertai Bersatu?

"Mungkin beliau baru tersedar setelah menyemak data terkini keahlian UMNO, maka memperakui bahawa kini beliau sekadar menjadi 'Ketua Pemuda' kepada sebuah parti yang ahlinya 'bukanlah sejumlah tiga juta' seperti yang dicanang sejak 10 tahun lalu.

"Parti yang telah luput keramatnya kini sekadar sebuah parti yang semakin mengecil kerana ditinggalkan oleh orang Melayu atas 'hak' dan kesedaran mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu didesak henti ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO

Mengulas lanjut, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, ahli akar umbi dan pejuang UMNO yang tulus memperjuangkan bangsa bukan sahaja marah dan kecewa malah muak dengan budaya perlakuan segelintir pemimpin UMNO seperti Dr Asyraf Wajdi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, segelintir pemimpin itu memfitnah dan memainkan sentimen kerana mahu melihat perpecahan orang Melayu.

"Ia supaya atas asbab pergelutan kuasa, dapatlah mereka mengekalkan doktrin lapuk peninggalan 'kolonial' yang diamalkan UMNO, iaitu 'pecah dan perintah' hanya semata untuk kembali ke takhta.

"Dr Asyraf Wajdi perlu bertanggungjawab atas pengesahan beliau sendiri bahawa UMNO bukan lagi pilihan orang Melayu!" katanya.

Ekoran itu, beliau memberitahu, UMNO tidak wajar untuk terus mencanang bahawa mereka sebuah parti Melayu dominan, hanya sekadar kerana memiliki sejumlah besar kerusi dalam Parlimen menerusi kerajaan PN yang dipelopor oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin atas semangat muafakat Melayu.

Bagaimanapun, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, pada masa sama ahli parti itu semakin meninggalkan mereka kerana segelintir pemimpin UMNO yang tidak jujur dalam agenda permuafakan Melayu.

"Jika sebahagian pemimpin UMNO ini jujur atas agenda Melayu seperti yang dicanang, pasti dari awal mereka mendaftarkan Muafakat Nasional tetapi ternyata hasrat mereka sekadar 'memperkuda' rakan-rakan koalisi yang istiqamah demi agenda pemerkasaan Melayu-Islam.

"Masakan pohon bergoyang tanpa angin kerana panik akar umbi semakin muak dengan kepimpinan UMNO dan tidak berhenti mempermainkan orang Melayu malah berlaku khianat dalam muafakat yang suatu masa pernah dicanang, maka jalan mudah ialah terus memfitnah Bersatu," katanya.

Mohd Ashraf Mustaqim menegaskan, rakyat dan orang Melayu tidak bodoh kerana dalam era Presiden UMNO pun cuba ber'tik-tok' untuk meraih sokongan persis 'Bossku' dan Ketua Pemuda UMNO tak habis membaja kebencian, rakyat menilai kesungguhan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dan barisan kabinet PN beliau yang turut dibarisi sebilangan pemimpin UMNO yang ikhlas memberikan khidmat politk demi membangun negara.

Tambahnya, sekiranya di suatu sisi lain pemimpin UMNO yang mabuk kuasa dan memperjudikan nasib bangsa ini terus bertindak sebegitu, tidak hairan UMNO akan jadi tidak relevan dan pemimpin besar juga akan meninggalkan parti tersebut.

Justeru katanya, Dr Asyraf Wajdi perlu jujur jika benar beliau bersungguh dengan agenda pemerkasaan bangsa dan pemuafakatan Melayu-Islam dengan bertanggungjawab atas fitnah beliau ke atas Bersatu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tarik semula tuduhan Bersatu ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO: Saiful