Mesyuarat keselamatan pangkalan feri Isnin ini: Julaihi

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SRI AMAN - Menteri Muda Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, satu mesyuarat bersama agensi-agensi berkaitan akan diadakan Isnin ini bagi membincangkan langkah-langkah peningkatan keselamatan di semua pangkalan feri di negeri ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS) serta operator perkhidmatan feri di seluruh negeri berikutan kejadian kenderaan pacuan empat roda terhumban ke Sungai Batang Lupar di Pangkalan Feri Triso pada Jumaat.

"Kita tidak boleh menuding jari kepada sesiapa terhadap tragedi ini (di pangkalan Feri Triso) kerana ia satu kemalangan, namun kita amat bersedih kerana tragedi ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai kemalangan berkenaan di sini pada Sabtu.

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, pada masa ini terdapat 12 pangkalan feri di seluruh Sarawak dengan tujuh daripadanya beroperasi di laluan Jalan Pesisir Sarawak, manakala selebihnya di kawasan lain.

"Kesemua 12 pangkalan feri yang beroperasi ini diberi subsidi sebanyak RM78 juta setahun oleh kerajaan Sarawak dan setiap penumpang hanya dikenakan bayaran RM1.

"Pada masa ini kita sedang melengkapkan kawasan yang masih bergantung dengan perkhidmatan feri melalui pembinaan jambatan yang dijangka dapat disiapkan sepenuhnya termasuk jambatan Batang Lupar pada 2025,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sembilan lemas pacuan empat roda terjunam

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang Jumaat, sembilan orang termasuk bayi berumur empat bulan maut apabila kenderaan yang dinaiki hilang kawalan dan jatuh ke dalam sungai di sekitar kawasan jeti berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: