KPDNHEP sedia kerjasama jika wujud rangkaian sindiket

Rosol
Rosol
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedia bekerjasama dengan polis dan agensi berkaitan sekiranya wujud rangkaian sindiket kartel daging import.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu berkenaan dan kementerian akan menyiasat penyalahgunaan logo halal dan cap dagangan palsu oleh syarikat pengimport daging sejuk beku di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

"Ada kemungkinan (rangkaian sindiket) tapi kita tidak tahu sama ada betul atau tidak. Jadi, kita minta pihak berkuasa menyiasat bagi menentukan kebenarannya," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Lubuk Periuk, Ajil di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan polis yang tidak menolak kemungkinan aktiviti penyeludupan kartel daging import itu melibatkan rangkaian yang luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, ia berdasarkan jumlah rampasan dan nilai sitaan yang terlibat dalam kegiatan tersebut setakat ini.

Sementara itu, Rosol turut membidas sesetengah pihak yang memutar belit kenyataannya terutama berkaitan tindakan KPDNHEP tidak mendedahkan jenama dan syarikat yang disiasat dalam kes kartel daging import berkenaan sehingga kes dibawa ke mahkamah.

"Kita tidak melindungi syarikat yang disiasat dalam kes itu tetapi perlu bersikap adil kepada syarikat pemilik sebenar jenama yang menjadi mangsa, apabila cap dagangannya ditiru dan disalahgunakan untuk penipuan cap dagangan dan logo halal.

"Dakwaan kata kita melindungi dalang dan VIP dalam kes itu merupakan fitnah kerana hakikatnya dalang kes sudah ditangkap dan disiasat serta bakal didakwa di mahkamah dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Isu kartel daging: Kerajaan setuju tubuh RCI

Kartel daging: Polis terima 29 laporan

KPDNHEP agensi utama siasat isu kartel daging: Ketua Polis Negara