UMNO Perak tidak kompromi lima kerusi lompat

Saarani (tengah) memotong pulut kuning selepas menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Saarani (tengah) memotong pulut kuning selepas menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
A
A
A

TAIPING - UMNO Perak tidak akan berkompromi untuk menyerahkan lima kerusi yang dikhianati pemimpin mereka sebelum ini kepada mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerusi tersebut dimenangi pada PRU14 itu melibatkan tiga kawasan Parlimen iaitu Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang serta dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tualang Sekah dan Sungai Manik.

Menurutnya, walaupun agihan kerusi pilihan raya belum dimuktamadkan, namun UMNO perlu mempunyai pendirian yang tuntas terhadap hak dan kedudukannya.

"UMNO wajiblah bertegas, semua kerusi yang telah dimenangi oleh UMNO pada PRU14 tetapi telah dikhianati oleh wakil yang telah kita amanahkan, maka kerusi itu hendaklah dikembalikan kepada UMNO di dalam PRU15. Tidak ada kompromi dalam hal ini.

"Kembalikan kepada UMNO kerana kita masih punyai ramai lagi ahli yang setia kepada parti sebagai ganti kepada mereka yang telah mengkhianati kita," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Ucapan Saarani yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Larut itu kemudiannya disambut dengan sorakan perwakilan yang hadir pada mesyuarat tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO bukan sebuah parti yang tamak jawatan dan kekuasaan, namun sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam kalangan parti-parti gabungan, kedudukan dan kekuatan UMNO perlu dihormati.

Saarani berkata, UMNO juga perlu mengambil pengajaran daripada episod pengkhianatan pada PRU14 dan kecurangan yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini untuk menyusun langkah politiknya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan UMNO di setiap peringkat supaya sentiasa bersedia dan meletakkan diri berada dalam mod pilihan raya.

"Mahu tidak mahu, kita perlu bersedia. Meskipun pandemik Covid-19 tidak memungkinkan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, namun kita tidak boleh membiarkan diri kita terperangkap di dalam ketidaktentuan ini.

"Sama ada Wanita, Pemuda atau Puteri, semua pihak perlu fokus dalam membina kekuatan bagi menghadapi segala kemungkinan," katanya.

Untuk rekod, UMNO Perak kehilangan lima kerusi berkenaan selepas PRU14 lalu apabila wakil rakyat kawasan tersebut bertindak keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mereka ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.