Ifnan cipta nama di peringkat dunia

Mohd Ifnan (dua dari kanan) bersama jurulatih Persatuan Ally's International Taekwon-Do Martial Arts.
Mohd Ifnan (dua dari kanan) bersama jurulatih Persatuan Ally's International Taekwon-Do Martial Arts.
A
A
A

SELAYANG - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa selepas bergelar juara dalam Kejohanan Special Needs Taekwondo International (SNTI) pada bulan lalu.

Mohd Ifnan Ab Rahim, 30, yang mengalami masalah pembelajaran menewaskan 73 pencabar daripada 11 negara dalam pertandingan taekwondo kategori OKU yang diadakan secara dalam talian dan New Zealand merupakan penganjur utama kejohanan tersebut.

Berkongsi cerita, Mohd Ifnan berkata, dia mempelajari teknik mempertahankan diri itu selama tiga tahun sebelum jurulatihnya mencadangkan agar dia menyertai pertandingan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, dia langsung tidak meletakkan sasaran untuk menang memandangkan baru pertama kali menyertai kejohanan itu dan sekadar untuk menimba pengalaman.

"Matlamat saya sertai kejohanan ini ialah untuk melihat sejauh mana saya boleh melakukan teknik yang diajar oleh jurulatih.

"Jadi apabila menang, saya rasa gembira dan bangga sebab dapat mengharumkan nama negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Anak ketujuh daripada 10 beradik itu berkata, niat mempelajari taekwondo adalah untuk mendalami seni mempertahankan diri selain mengisi masa lapang.

"Bukan sebab saya kena buli tapi keluarga syorkan saya belajar untuk lebih berdikari. Jadi saya ikuti kelas setiap malam Jumaat selama dua jam bersama pelajar lain.

Artikel Berkaitan:

"Kemenangan ini memberi suntikan semangat kepada saya untuk berkongsi ilmu dengan OKU lain. Insya-ALLAH, jika ada yang berminat, saya sedia membantu," katanya.

Terdahulu, Mohd Ifnan diraikan dalam satu majlis penyerahan sumbangan dan sijil penghargaan anjuran Ahli Majlis Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 12, U Chin Ong yang berlangsung di Hotel Merkure Selayang pada Khamis lalu.

Chin Ong berkata, beliau berharap kejayaan Mohd Ifnan dapat membuka mata kerajaan untuk memberikan perhatian pembangunan sukan golongan OKU.

"Saya berharap Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat meraikan kejayaan golongan OKU, sama seperti atlet-atlet sukan lain.

"Mereka juga berlatih bertungkus lumus untuk mengharumkan nama negara. Harap kerajaan hargai pengorbanan mereka," katanya.