Kerajaan PN tidak boleh diharap: Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengkritik kerajaan dan menyatakan mereka tidak boleh diharap membabitkan isu pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium dan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur - Singapura.

Menurutnya, segala kenyataan Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika Belanjawan 2021 baru-baru ini melibatkan ketiga-tiga isu itu sukar dipercayai.

“Saya mengambil maklum keluhan ramai terutama melibatkan isu moratorium pinjaman sewa beli kenderaan yang didapati hanya janji dan harapan palsu oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya mendapati moratorium pinjaman sewa beli kenderaan ini datang bersama kos yang lebih besar dan menambah beban rakyat.

“Pelbagai syarat yang dikenakan juga terus merumitkan keadaan dan ini tidak membantu rakyat yang masih terhimpit kesan wabak Covid-19,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, sebagai kerajaan yang kononnya peduli dan prihatin terhadap nasib rakyat susah, tidak wajar perkara seperti itu diambil mudah.

“Saya menggesa kerajaan dan Menteri Kewangan membetulkan perkara ini dengan segera,” tegasnya.

Selain itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menuntut penjelasan terperinci jumlah sebenar terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan pembayar cukai akibat pembatalan projek HSR.

Artikel Berkaitan:

“Jika benar seperti yang dilaporkan, ini secara tidak langsung telah mendedahkan lagi kelemahan kerajaan PN dalam membuat sebarang keputusan besar untuk negara dan rakyat.

“Ketidakstabilan kerajaan hari ini memberi imej dan reputasi yang buruk kepada negara,” katanya.

Semalam, media melaporkan pembatalan Projek HSR selepas tempoh penangguhan perjanjian terbabit berakhir pada Khamis.

Sesetengah pihak mendakwa kerajaan perlu membayar pampasan dianggarkan berjumlah RM300 juta kepada Singapura akibat pembatalan projek berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN [DIKEMASKINI] Projek kereta api laju HSR batal